Jawatankuasa SOP Masjid cadang penjarakan fizikal ditiadakan mulai 1 April

Jawatankuasa SOP Masjid cadang penjarakan fizikal ditiadakan mulai 1 April

Kota Kinabalu: Jawatankuasa Prosedur Operasi Standard (SOP) Masjid negeri mengemukakan cadangan kepada Jawatankuasa Pengurusan Covid-19 negeri agar kapasiti masjid dibuka sepenuhnya tanpa penjarakan fizikal bermula 1 April ini.

Mufti Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar berkata, cadangan itu dibuat pada mesyuarat jawatankuasa terbabit, semalam.

“Jawatankuasa SOP Masjid telah bermesyuarat semalam dan mencadangkan kepada kerajaan iaitu Jawatankuasa Pengurusan Covid-19 negeri agar kapasiti masjid dibuka 100 peratus tanpa penjarakan sosial seperti yang dicadangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini.

“SOP lain kekal. Bagaimanapun, cadangan ini bergantung kepada perakuan Jawatankuasa Pengurusan Covid-19 negeri yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung SOP baharu bagi masjid dan surau di negeri ini berikutan pengumuman Perdana Menteri bahawa umat Islam di negara ini boleh menunaikan solat jemaah tanpa perlu penjarakan fizikal bermula 1 April depan.

Mengulas lanjut, Bungsu berkata, SOP baharu bagi masjid dan surau di negeri ini dicadangkan untuk dikuatkuasakan bermula 1 April depan.

“SOP baharu itu akan diumumkan, InsyaAllah sebaik Setiausaha Kerajaan Negeri terima cadangan itu dan tarikh kuatkuasa dicadangkan pada 1 April,” katanya.

Ismail Sabri sebelum ini mengumumkan aktiviti solat berjemaah di masjid dan surau serta upacara sembahyang di rumah ibadat selain Islam boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal bermula 1 April susulan Fasa Peralihan Ke Endemik.

Bagaimanapun katanya, pelaksanaan dan SOP akhir untuk masjid dan surau tertakluk kepada ketetapan itu majlis agama Islam di setiap negeri.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|