Kota Kinabalu: “Politik ini kena ada ‘give and take’,” itu respons Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin ketika ditanya pandangan Presiden Parti Warisan (WARISAN) bahawa UMNO yang sepatutnya memerintah Sabah.
Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri menganggap ia hanya pandangan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
“Tidak apa, terima kasih di atas pandangan dia. Bagaimanapun politik ini orang kata ‘give and take’. Itu penting untuk menstabilkan negeri dan rakyat.
“Apa-apa pun terima kasihlah di atas komen Mohd Shafie,” katanya ketika ditemui di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, malam tadi.
Pada Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN-16), Barisan Nasional (BN) berjaya memperoleh sebanyak 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) hanya memenangi 12 kerusi.
Diminta mengulas berhubung kemasukan parti-parti tempatan dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang mungkin memberi saingan kepada BN, beliau menganggap ia bukan masalah kepada parti.
“Biar Pengerusi GRS yang juga Ketua Menteri komen mengenainya. Bagi saya, kami tiada masalah sebab kami pun dalam BN sebagai parti komponen, bagus untuk mereka ikut GRS. Persaingan ada dimana-mana,” katanya.
GRS yang dipimpin Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor turut dianggotai Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO).
Beberapa parti tempatan lain ketika ini turut memohon untuk menyertai GRS termasuk Parti Liberal Demokratik (LDP), Parti Cinta Sabah (PCS), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dan yang terbaharu, Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat).
-Deasoka