Kota Kinabalu: Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menyarankan arkitek dan jurutera di negeri ini supaya meningkatkan tahap profesionalisme masing-masing dengan menduduki peperiksaan berkaitan bagi mendapatkan pentauliahan.
Katanya, kerajaan sangat mengalakkan arkitek dan jurutera meningkatkan tahap profesionalisme masing-masing bagi memudahkan mereka berurusan dengan mana-mana pihak yang mereka akan bekerjasama.
“Saya pun baru sedar, arkitek kita baru dua orang yang berkelayakan dan betul-betul ada lesen profesional. Jadi saya minta, daftarlah dan ambil peperiksaan. Yang penting Sabah ini banyak arkitek dan jurutera yang profesional.
“Sebab kita malu, polisi kerajaan Persekutuan, polisi kerajaan negeri memerlukan orang yang ada Ir (Jurutera Profesional) sebab kita akan berurusan dengan orang-orang profesional. Bagaimana mahu berurusan dengan profesional kalau kita pun bukan profesional,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengiktirafan dan Penghargaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah 2022, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, malam tadi.
Yang turut hadir dua Pembantu Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Limus Jury dan Datuk Robert Tawik serta Pengarah JKR Sabah Datuk Ir Ali Ahmad Hamid.
Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, beberapa polisi mungkin akan dicadangkan supaya jurutera dan arkitek di negeri ini memartabatkan diri mereka dalam bidang teknikal yang profesional.
“Mungkin kita akan mencadangkan beberapa polisi supaya jurutera-jurutera kita memartabatkan diri mereka supaya mereka menjadi profesional,” ujarnya.
Sementara itu, Bung Moktar dalam ucapannya turut meminta kakitangan JKR di negeri ini membantunya untuk mengeluarkan Sabah daripada belenggu kemiskinan.
“Saya lihat Sabah sebuah negeri yang mampu dan berpotensi untuk dibangunkan kalau semua agensi kerajaan bangun bersama satu hati, percayalah dalam dua hingga tiga tahun ini Sabaha akan maju dari negeri-negeri lain di Semenanjung.
“Saya tidak nampak Sabah tidak boleh, yang penting syaratnya kita di jabatan kena bekerja bersama-sama, misi kita percepatkan apa juga projek pembangunan yang telah diluluskan oleh kerajaan, jangan tangguh, jangan lengah. Kita tangguh sehari bermakna kita tangguh setahun,” katanya.
-Deasoka