Seorang maut, dua cedera kenderaan bertembung

Seorang maut, dua cedera kenderaan bertembung

Lahad Datu: Seorang pemandu maut manakala dua lagi cedera selepas kenderaan dinaiki bertembung dalam kejadian di Kilometer 13, Jalan Segama, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 5.30 pagi itu, Willy Maikan, 28, yang memandu Proton Saga LMST disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik yang hadir membantu di lokasi kejadian.

Pacuan empat roda jenis Isuzu DMax terbabas ke tepi jalan selepas bertembung dengan Proton Saga.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.48 pagi.

Katanya, sepasukan tujuh anggota dan pegawai bersama jentera dikerahkan bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, seorang lagi mangsa berusia 12 tahun yang juga penumpang Proton Saga berkenaan didapati turut tersepit di dalam kenderaan.

“Selain itu, pemandu sebuah lagi kenderaan Isuzu DMax berusia 31 tahun yang cedera juga masih berada di dalam kenderaannya,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, pasukan operasi berjaya mengeluarkan kedua-dua mangsa dan diberikan rawatan awal oleh pasukan paramedik.

Katanya, kedua-dua mangsa cedera kemudiannya dihantar ke Hospital Lahad Datu menggunakan Ambulans untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.

“Pasukan operasi terus melakukan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain di lokasi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.02 pagi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|