Polis Tawau rampas lebih dua kilogram syabu

Polis Tawau rampas lebih dua kilogram syabu

Tawau: Polis daerah ini berjaya menahan seorang lelaki dan merampas lebih dua kilogram syabu yang disembunyikan dalam sebuah kereta di Taman Megah Jaya 10, di sini, Isnin lalu.

Lelaki berusia 30 tahun terbabit ditahan kira-kira jam 7.30 malam selepas cuba melarikan diri dari sekatan jalan raya (SJR) yang dijalankan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Tawau di Jalan Tiku, di sini.

Jasmin (tengah) menunjukkan dadah jenis syabu yang dirampas.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, sebaik disedari cuba melarikan diri, pasukan polis terus bertindak mengejar kereta suspek.

Katanya, polis akhirnya berjaya menahannya selepas kira-kira lima minit mengejar kereta suspek.

“Hasil pemeriksaan, polis menemui dua beg plastik mengandungi ketulan hablur dipercayai syabu seberat 2,010 gram yang disembunyikan di bawah tempat duduk pemandu.

“Semua syabu yang dianggarkan bernilai RM120,000 itu terus dirampas dan suspek turut dibawa ke IPD Tawau untuk tindakan lanjut,” katanya pada sidang media, di IPD Tawau, di sini hari ini.

Jasmin berkata, hasil siasatan, pihaknya percaya semua dadah yang dirampas itu adalah untuk pasaran di Tawau dan daerah sekitar.

“Polis masih menjalankan siasatan bagi mengenalpasti sama ada suspek adalah ketua sindiket ataupun keldai dadah yang diupah untuk menghantar dadah berkenaan.

“Hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadapnya didapati negatif dadah selain suspek juga tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau,” katanya.

Jasmin berkata, suspek kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga 10 Oktober depan dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|