Pelantikan wakil Sabah, Sarawak dalam LHDNM selaras MA63

Pelantikan wakil Sabah, Sarawak dalam LHDNM selaras MA63

Kota Kinabalu: Kerajaan Pusat akan melantik wakil kerajaan negeri Sabah dan kerajaan negeri Sarawak dalam keanggotaan Lembaga Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM).

Menerusi satu kenyataan hari ini, Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata ia selepas cadangan pindaan Akta LHDNM 1995 (Akta 533) yang diluluskan Jemaah Menteri pada 30 September lalu dibentangkan ke Parlimen untuk kelulusan.

Katanya, pindaan itu memperuntukkan seorang wakil Kerajaan Negeri Sabah dan seorang wakil Kerajaan Negeri Sarawak di dalam keanggotaan Lembaga Pengarah LHDNM.

Beliau berkata, pada 1 September lalu, kerajaan Pusat telahpun melantik calon Kerajaan Negeri Sabah ke Lembaga Pengarah LHDNM yang mengisi kekosongan ahli profesional dalam Lembaga LHDNM.

“Namun, cadangan pindaan yang dipersetujui Jemaah Menteri akan menginstitusikan wakil daripada Sabah dan Sarawak di dalam Lembaga Pengarah LHDNM, di samping membolehkan pelantikan wakil dari kalangan penjawat awam Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak.

“Pindaan Akta 533 merupakan tindakan Kerajaan Persekutuan untuk menyusuli permohonan Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak yang dipersetujui semasa Mesyuarat Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, pihaknya percaya pelantikan wakil Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Negeri Sarawak adalah selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan mengalu-alukan sumbangan idea serta kepakaran daripada wakil Kerajaan Negeri berkaitan pentadbiran percukaian.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|