Polis siasat kes gaduh tular di media sosial

Tuaran: Polis sedang menyiasat kes pergaduhan tular di media sosial membabitkan tiga lelaki dewasa di hadapan sebuah bank di pekan ini.

Rakaman video berdurasi dua minit 54 saat itu tular sejak pagi tadi dipercayai dirakam oleh orang awam sebelum dimuat naik di media sosial.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tuaran, Asisten Superintendan Raji Hussin Suhodin berkata, siasatan mendapati kejadian itu berlaku kira-kira 10.30 pagi, pada 26 Mei lalu.

Katanya, sehingga kini polis masih belum menerima sebarang laporan dan mangsa belum tampil membuat laporan polis.

“Identiti mangsa dan kumpulan penyerang masih belum dikenal pasti dan punca kejadian masih belum dapat dipastikan.

“Dalam pada masa yang sama, Polis Tuaran sedang giat mengesan semua individu yang terbabit dalam kejadian itu untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, orang awam dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkenaan kejadian itu bagi mengelak sebarang kekeliruan dan bimbang akan menimbulkan kegusaran dalam masyarakat.

“Mana-mana orang awam yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian yang berlaku boleh menghubungi IPD Tuaran di talian 088-791933, 088-791966 dan 088-791977,” katanya.

Sementara itu, rakaman tular berkenaan mendapat pelbagai reaksi orang awam yang dimuat naik di media sosial.

Antara komen warganet mendakwa lelaki yang dibelasah terbabit adalah pekerja ‘ah long’.

Ada juga netizen yang mendakwa sebab kejadian adalah kerana lelaki terbabit tidak beratur dan mengikut giliran untuk mengambil wang.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|