Cuba ceroboh, dua bot warga Filipina diusir keluar

Sandakan: Tindakan dua bot dari Filipina cuba menceroboh masuk ke perairan daerah ini gagal apabila dikesan Pasukan Polis Marin (PPM), semalam.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan, Deputi Superintendan Rusdin Banin berkata, pihaknya mengesan bot-bot berkenaan dalam keadaan mencurigakan yang memasuki perairan negara sebelum dipintas.

Dua bot dari Filipina cuba ceroboh perairan negara diusir keluar.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan dikendalikan dua lelaki mendakwa dari Filipina membawa hasil laut untuk dijual.

“Susulan itu, kedua-dua bot diiringi sehingga keluar dari perairan negara supaya tidak kembali semula.

“Ini selaras dengan kehendak Undang-Undang Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 bagi mengekang penularan wabak Covid-19,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, semalam.

Menurutnya, operasi mencegah kemasukkan dari negara luar sedang giat dijalankan oleh PPM di perairan negara.

“PPM amat menggalakkan masyarakat pesisir pantai dan maritim khususnya untuk menyalurkan sebarang maklumat kepada pihaknya.

“Maklumat boleh disalurkan menerusi aplikasi WhatsApp PPM Wilayah Empat Sabah di talian 013-2831197 atau berhubung ke Gerakan PPM Sandakan di talian 089-221453 bagi memastikan keselamatan dan kemakmuran setempat terjaga serta terkawal,” ujarnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|