Semporna: Parti Warisan (WARISAN) menegaskan tidak timbul soal pemimpin dan jentera parti itu akan melompat keluar berikutan kedudukan parti itu di Sabah masih kukuh.
Naib Presidennya, Datuk Jaujan Sambakong berkata kenyataan yang mengatakan ada lagi pemimpin WARISAN akan keluar parti adalah tidak benar.
Beliau berkata, pemimpin dan jentera WARISAN yang ada sekarang terdiri daripada mereka yang setia dan tidak mempunyai masalah berkaitan salah guna kuasa.
“Semua mengetahui kebanyakan bekas pemimpin WARISAN yang keluar parti adalah mereka yang didakwa terpalit dengan pelbagai masalah.
“Kita tidak mahu komen kesalahan mereka, itu hak peribadi dan rakyat sendiri boleh menilai pemimpin terbabit ikhlas ataupun untuk kepentingan diri sendiri,” katanya pada rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri di kediamannya, di sini hari ini.
Katanya, sambutan ahli dan pemimpin akar umbi ketika jelajah Ramadan Presiden WARISAN Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di seluruh negeri sebelum ini membuktikan parti itu masih kuat.
Berikutan itu, katanya kenyataan kononnya terdapat lagi pemimpin WARISAN yang akan keluar parti dan menyertai parti lawan adalah tidak benar serta bersifat politik lapuk.
Tegasnya, kerajaan sekarang tidak perlu bercakap soal WARISAN, sebaliknya perlu menumpukan usaha untuk menjaga kebajikan dan kemudahan yang diharapkan rakyat seperti jalan raya dan air.
-Deasoka