Kota Kinabalu: Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah sentiasa bersiap siaga dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, selaku pasukan keselamatan, pihaknya sudah membuat pelbagai persiapan termasuk latihan dalam perkhidmatan.

Katanya, semua pegawai dan anggota terlibat juga sudah diberikan pendedahan menerusi bengkel-bengkel untuk memantapkan lagi tugasan.
“Kita tidak tahu bila tarikh sebenarnya namun pasukan polis sentiasa bersiap sedia untuk menjalankan tugasan diperlukan.

“Menerusi latihan yang diberikan, ia bagi mempertajamkan semula pemahaman dalam peraturan dan perundangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan sambutan hari polis peringkat Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sabah, di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun dan barisan kepimpinan IPK Sabah.
Idris berkata, bengkel-bengkel yang disediakan juga memberikan pendedahan dengan prosedur operasi standard (SOP) berikutan keadaan semasa dalam endemik ketika ini.
Sementara itu, sambutan Hari Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini dimeriahkan dengan pelbagai pertunjukkan aksi pasukan keselamatan yang memukau.
Antara aksi dipaparkan termasuk tatacara menyelamat dan memindahkan individu penting dalam keadaan kecemasan.
Persembahan yang dipaparkan seperti kejadian sebenar itu turut menggunakan bahan letupan selain serangan tembak menembak antara polis dan penjenayah.
-Deasoka