Tawau: Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (MK ATB 2) berjaya mematahkan cubaan seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang cuba menyelinap masuk ke negara ini melalui perairan daerah ini, pada 23 Mac lalu.
Komander ATB 2 Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad berkata, kejayaan ini adalah hasil pengesanan awal sebuah bot laju dalam keadaan mencurigakan daripada Radar Coastal Surveillance Station (CSS) yang bergerak dari arah Pulau Sebatik menuju ke Batu 3, jam 11.23 malam.
“Berdasarkan kepada pengesanan itu, Pegawai Bertugas Pusat Operasi Wilayah Bersama (POWB) berpusat di MK ATB 2 menugaskan Tim Quick Reaction Force (QRF) yang sedang melaksanakan rondaan Op Benteng Bersama bagi melakukan tinjauan ke lokasi berkenaan.
“Hasil tinjauan Tim QRF mendapati, bot laju yang digunakan untuk tujuan pemerdagangan PATI itu beredar selepas selesai mendaratkan serta memunggah barang-barang milik PATI ke dalam sebuah lori muatan jenis bonded bewarna putih,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, lori berkenaan berjaya dipintas ketika dalam perjalanan keluar dari sebuah stesen minyak di simpang masuk Kampung Batu 3 Jalan Apas, di sini.
“Hasil pemeriksaan awal terhadap lori itu mendapati terdapat tiga individu warga tempatan yang mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah dipercayai agen daratan.
“Manakala seorang lagi lelaki dewasa iaitu PATI warga Indonesia berusia 44 tahun tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dan cuba memasuki Malaysia secara haram melalui perairan Tawau.
“Pemeriksaan mendedahkan PATI terbabit bersembunyi bersama barang persendirian yang dibawa dari Pulau Sebatik dipercayai bagi tujuan berniaga,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tinggal dan berada di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah.
Katanya rampasan lori yang membawa 13 kotak gula merah, lima guni beras pulut hitam yang dipercayai untuk dijual di pasaran Tawau dan satu guni pakaian milik PATI bersama semua suspek dibawa ke IPD Tawau untuk tindakan lanjut.
“Kejayaan ini menunjukkan kerjasama erat antara perkhidmatan ATM, dan PDRM berada ditahap yang terbaik di dalam usaha menjamin keselamatan dan kemakmuran Perairan pantai timur Sabah.
“Keberkesanan penahanan ini juga membuktikan sempadan perairan pantai timur Sabah sentiasa diawasi setiap masa oleh pasukan keselamatan sekaligus membuktikan fungsi dan peranan pasukan keselamatan dalam menjamin keselamatan negara,” katanya.
-Deasoka