Labuan: Majlis Getah Malaysia (MRC) baru-baru ini menyampaikan bantuan awal persekolahan kepada 274 murid dan pelajar membabitkan 27 sekolah di pulau ini.
Program kerjasama MRC, Jabatan Pendidikan Labuan, Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM) dan Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia (GMGBM) itu diadakan di Dewan Terbuka Pusat Ko Kurikulum Negeri di Merinding, dekat sini.
Majlis penyampaian sumbangan disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif MRC, Nor Hizwan Ahmad.
Pada majlis itu, seramai 274 pelajar dari 10 sekolah menengah dan 17 murid sekolah rendah dipilih menerima sumbangan MRC berjumlah RM45,210 yang diterima pengetua dan guru besar.
Dalam ucapannya, Nor Hizwan berkata MRC komited untuk terus memberi kerjasama dan membantu murid dan pelajar di Labuan terutama dari aspek persediaan bahan-bahan pembelajaran.
“Pada tahun ini, MRC menyediakan peruntukan hampir RM2 juta untuk bantuan awal persekolahan ‘back to school’ kepada kira-kira 6,000 orang murid dan pelajar seluruh negara.
“MRC akan terus melaksanakan tanggungjawab sosial dengan menyalurkan bantuan secara lebih meluas kepada murid dan pelajar yang memerlukan pada masa akan datang,” katanya.
Sementara itu, Yang Dipertua MPSM Labuan yang juga Pengetua SMK Pantai, Ismail Abdullah berkata, program itu adalah satu inisiatif kerjasama dengan pihak swasta untuk meningkatkan persediaan murid dan pelajar memulakan sesi persekolahan tahun Akademik 2022/2023.
Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Pengarah Sektor Perancangan Jabatan Pendidikan Labuan, Mohd Nizam Yasim yang mewakili Pengarah Pendidikan Labuan, Yusup Mohamad dan dua Ahli Lembaga Pemegang Amanah MRC, Dayang Rusimah @ Raynie Mohd Din dan Zakaria Abdul Rahim.
Hadir sama Yang Dipertua MPSM Kebangsaan, Mohd Ariffin Abdul Rahman dan Yang Dipertua GMGBM, Abdul Rahman Ibas.
-Deasoka