Pelan Tindakan Pembangunan Ladang Hutan kukuhkan hasil kayu Sabah

Pelan Tindakan Pembangunan Ladang Hutan kukuhkan hasil kayu Sabah

Tuaran: Pelan Tindakan Pembangunan Ladang Hutan 2022-2036 yang dirangka Jabatan Perhutanan Sabah dijadikan panduan bagi mentransformasi ladang hutan dan mengukuhkan hasil kayu di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata Sambil inisiatif itu akan menjadi pelan tindakan pembangunan ladang hutan di Sabah untuk tempoh 15 tahun akan datang.

Hajiji mendengar penerangan mengenai hutan simpan bakau Sulaman Lake sempena pelancaran Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Sabah.

“Ini adalah tindakan strategik dan penentu untuk mengubah ladang hutan kita ke arah mencapai penggunaan tanah mampan untuk mengukuhkan tanaman hasil kayu di Sabah.

“Pelan tindakan ini memberi panduan dalam pembangunan ladang hutan mengikut prinsip pengurusan hutan lestari, seperti yang digariskan dalam Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2021-2025 dan Dasar Hutan Sabah 2018.

Hajiji menanam pokok bersama murid Tahun 6, SK Bolong, Tuaran, Sharifah Nur Husna Hussin (kanan) sempena pelancaran Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Sabah.

“Adalah menjadi harapan saya menjelang 2035, sasaran 400,000 hektar ladang hutan dan keupayaan kapasiti pengeluaran sekurang-kurangnya enam juta meter padu setahun akan tercapai,” katanya ketika merasmikan sambutan Hari Hutan Antarabangsa 2022 Peringkat Negeri Sabah di Hutan Simpan Sulaman Lake, di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Jeffery Kitingan yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan; Menteri Tugas- Tugas Khas, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif; Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Sarul Bahiyah Abu dan Ketua Konservator Hutan Jabatan Perhutanan Sabah, Datuk Frederick Kugan.

Hajiji menyerahkan buku Pelan Tindakan Pembangunan Ladang Hutan 2022-2036 kepada Presiden Persatuan Pembalakan Sabah (TAS), Norman Wong.

Bagi mencapai sasaran itu, Hajiji berkata seluas 23,850 hektar penanaman ditetapkan kepada 18 Perjanjian Lesen Pengurusan Hutan Mampan (SFMLA) pada tahun ini.

Bagainanapun, katanya pencapaian sasaran itu memerlukan komitmen padu pemain sedia ada dan pelaburan baharu.

“Justeru, saya menggesa kepada semua
pemegang lesen SFMLA untuk kekal komited dan berusaha gigih dalam mencapai sasaran bagi kawasan masing-masing,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Hajiji turut berasa bangga kerana Sabah melakar kejayaan signifikan mendahului rekod pencapaian penanaman pokok di seluruh negara menerusi Kempen Penghijauan Negara melalui Penanaman 100 juta pokok pada suku pertama tahun ini.

“Saya berharap rekod ini dapat dikekalkan dan seterusnya Sabah dapat mencapai sasaran penanaman lapan juta pokok pada tahun ini.

“Justeru, saya menyeru kepada seluruh rakyat Sabah untuk sama-sama menggiatkan inisiatif ini di kawasan masing-masing,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|