Polis Penampang mahu bank selamat sepanjang cuti perayaan

Polis Penampang mahu bank selamat sepanjang cuti perayaan

Putatan: Polis mencadangkan kepada pihak pengurusan bank di Penampang dan Putatan beberapa langkah kawalan keselamatan supaya mengelak dijadikan sasaran penjenayah sepanjang cuti perayaan Aidilfitri ini.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, cadangan langkah kawalan keselamatan itu disampaikan dalam satu pertemuan bersama pihak pengurusan perbankan yang membabitkan 13 bank di sekitar Penampang dan Putatan baru-baru ini.

“Tujuan pertemuan ini adalah sebagai kerjasama antara pihak polis dengan pihak pengurusan bank untuk menimbulkan kesedaran menjaga premis bank mereka sendiri.

“Tanggungjawab polis kekal dengan menjalankan rondaan dan kita ada plan daripada pelbagai rondaan untuk digerakkan ke kawasan bank-bank komersial supaya tidak berlaku peluang kepada penjenayah melakukan khianat terhadap premis bank atau mesin juruwang automatik (ATM),” katanya ketika ditemui media di Kampung Meruntum, di sini, semalam.

Tambah Mohd Haris lagi, antara langkah kawalan keselamatan yang dicadangkan termasuk mengalakkan pihak pengurusan perbankan mengambil pengawal keselamatan yang bertugas sepanjang masa dan memeriksa sistem keselamatan sedia ada di premis berkenaan.

“Kita tidak mahu berlaku lagi kejadian mesin ATM diletupkan semasa perayaan, jadi kita mencadangkan beberapa langkah kepada pihak bank sepanjang lima hari cuti sempena Hari Raya bagi mengelak premis ini disabotaj oleh penjenayah untuk mendapatkan wang.

“Kita cadangkan pihak bank mempunyai pengawal keselamatan untuk menjaga premis 24 jam bagi memastikan bank selamat untuk tempoh lima hari bercuti dan kita cadangkan juga sistem berdua kerana risiko berseorangan tinggi apabila berlaku ancaman dan salah seorang boleh memberikan bantuan jika berlaku kecemasan.

“Dalam masa yang sama, kita mencadangkan sistem keselamatan yang sedia ada di bank itu seperti alat penggera, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan apa juga langkah keselamatan yang telah diambil supaya disemak semula dan dipastikan berfungsi dalam tempoh bercuti ini,” katanya.

Katanya lagi, pihak pengurusan perbankan boleh menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang dengan segera jika berlaku sebarang kecemasan di kawasan premis mereka.

“Kita juga minta mereka menghubungi polis dengan segera dan kita telah berikan nombor telefon bilik gerakan atau pegawai yang boleh dihubungi jika berlaku sebarang kecemasan di kawasan premis bank sekitar daerah ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|