Pengurus pusat pelancongan kerugian RM444,600 diperdaya Macau Scam

Ranau: Seorang pengurus sebuah pusat pelancongan di sini, kerugian RM444,600 selepas terpedaya dengan kegiatan penipuan Macau Scam, 6 April lalu.

Lelaki berusia 35 tahun terbabit bagaimanapun hanya menyedari ditipu sindiket berkenaan selepas membuat pemindahan wang ke beberapa akuan tidak dikenali sebelum membuat laporan polis untuk mendapatkan bantuan.

Ketua Polis Daerah Ranau Deputi Superintendan Simiun Lomudin berkata, mangsa melaporkan menerima panggilan daripada seorang lelaki yang mendakwa sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Kedah.

Katanya, suspek memaklumkan nama mangsa digunakan untuk membuka satu syarikat dan mempunyai tunggakan cukai sebanyak RM26,000.

“Mangsa yang menafikan pembabitan dalam syarikat berkenaan kemudiannya disambungkan ke Pejabat Polis Kedah dan bercakap dengan seorang lagi suspek yang mengaku sebagai Sarjan Tengku Iskandar.

“Suspek terbabit mendakwa mangsa tersenarai dalam kegiatan pengedaran dadah dan pengubahan wang haram,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Simiun berkata, mangsa kemudiannya disambungkan kepada seorang lagi pegawai atasan yang mendakwa boleh membatalkan waran tangkap namun mangsa perlu memasukkan sejumlah wang ke akaun yang diberikan.

Katanya, mangsa yang terpedaya terus menuruti arahan berkenaan dan terus mengeluarkan wang dan terus mendepositkan ke beberapa akaun secara berperingkat.

“Magsa turut membuat pemindahan wang sebanyak RM68,300 ke akaun suspek sebelum mulai curiga selepas terus diarahkan memasukan RM216,000 ke akaun seterusnya.

“Mangsa terus membuat laporan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sementara itu, Simiun berkata, kejadian berkenaan adalah kes ketiga yang dilaporkan berlaku di daerah Ranau membabitkan modus operandi yang sama.

Katanya, sindiket berkenaan sentiasa mensasarkan pelbagai lapisan masyarakat.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|