PBRS hasrat tanding di kerusi tradisi bekas komponen BN

Ranau: Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) berhasrat untuk bertanding di beberapa kerusi tradisi yang ditinggalkan bekas komponen Barisan Nasional (BN) selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu.

Pengarah PRU PBRS, Datuk Kalakau Untol berkata, kerusi yang ditinggalkan oleh komponen BN diharap dapat diisi oleh PBRS selain dapat mengekalkan kerusi Parlimen Pensiangan yang dimiliki parti itu.

“Selain berharap bertanding di kerusi Parlimen Pensiangan, PBRS juga berharap akan diberikan amanah untuk bertanding bagi pihak BN di semua kerusi tradisi yang ditinggalkan oleh parti komponen BN iaitu Parti Bersatu Sabah (PBS) lima kerusi, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) empat kerusi dan Parti Liberal Demokratik (LDP) satu kerusi.

“Semua kerusi itu diagihkan sejak PRU-11 pada 2004 sehingga PRU-14 pada 2018 yang juga merupakan formula agihan kerusi BN Sabah,” katanya ketika melancarkan Jentera Pilihan Raya PBRS Parlimen Ranau di Dewan Belia Pekan Ranau, semalam.

Beliau berkata demikian selepas diasak oleh jentera pilihan raya PBRS berhubung jumlah kerusi yang akan ditandingi parti itu pada PRU-15.

Mengulas lanjut, Kalakau berkata, Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin sebelum ini menyatakan kepada mereka bahawa UMNO akan bertanding di 14 kerusi Parlimen ‘tradisi UMNO’ dalam PRU akan datang.

Sehubungan itu, beliau percaya dengan agihan kerusi yang sama rata dan perkongsian kuasa yang adil akan memperlihatkan kepada rakyat Sabah bahawa tiada unsur dominasi politik dalam BN Sabah.

“Maka rakyat Sabah akan memberikan sokongan dan undi mereka kepada semua calon-calon BN kelak dan terjemahkan kemenangan besar kepada BN di Sabah,” katanya.

Tambah beliau lagi, jentera Pilihan Raya PBRS pada dasarnya telah berada dalam keadaan bersiap siaga untuk berhadapan dengan PRU-15.

“Kesiapsiagaan ketika ini pada tahap maksimum dan menunggu masa untuk Presiden PBRS melancarkan di peringkat negeri untuk menghadapi PRU yang bakal diadakan pada bila-bila masa dari sekarang.

“Saya amat yakin bahawa PBRS selaku satu-satunya parti lokal asal Sabah dalam komponen BN akan dapat memainkan peranan yang penting dalam memastikan kemenangan besar untuk BN.

“Saya juga berpendapat dan percaya bahawa jentera kita berada dalam keadaan siap siaga untuk memastikan kemenangan semua calon BN yang bakal bertanding,” ujarnya.

Hadir sama dalam majlis itu, Ketua Penyelaras PBRS Parlimen Ranau, Datuk Dr Ewon Ebi. Beliau turut menyampaikan watikah pelantikan penyelaras Ketua-Ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) bagi Parlimen Ranau.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|