Murid sekolah guna rakit, ‘zip line’ seberang sungai ke sekolah di Nabawan

Nabawan: Penduduk Kampung Nangkawangan, di sini, terpaksa bergadai nyawa untuk menyeberangi sungai selepas jambatan gantung yang menjadi penghubung utama kampung itu dihanyutkan banjir, bulan lalu.

Dua cara digunakan penduduk kampung, termasuk murid dan pelajar sekolah iaitu dengan menggunakan rakit buluh atau menggunakan ‘zip line’ yang dibuat sendiri penduduk kampung.

Pelajar SK Nangkawangan terpaksa berakit menyeberangi sungai untuk ke sekolah.

Dua video yang menunjukkan murid sekolah menaiki rakit dan tong yang digantung pada kabel sebelum ditarik seperti ‘zip line’ tular di media sosial sejak semalam hingga menimbulkan pelbagai reaksi.

Ramai yang menyatakan kebimbangan mengenai kaedah menyeberang sungai digunakan itu kerana dianggap membahayakan keselamatan lebih-lebih lagi membabitkan murid sekolah.

Jurucakap mewakili penduduk Kampung Nangkawangan, Zazila Roslan, 30, berkata, jambatan gantung di kampung berkenaan hanyut akibat banjir besar yang melanda beberapa kawasan di daerah ini bulan lalu.

Katanya, selain jambatan gantung, beberapa lagi kemudahan termasuk jambatan konkrit untuk menyeberangi sungai turut musnah disebabkan bencana alam itu.

“Banjir luar biasa itu berlaku ketika cuti sekolah dan apabila habis cuti, guru-guru yang mengajar di beberapa sekolah di kawasan berkenaan terpaksa berjalan kaki kira-kira 18 jam demi memastikan mereka dapat sampai ke sekolah untuk mendidik anak-anak di situ dan ini sudah didedahkan di akhbar ebelum ini.

“Saya tahu perkara ini kerana ibu saya adalah guru di sebuah kampung di situ dan saya bersama pasukan Sukarelawan Anak Negeri Sabah juga pergi ke beberapa kampung berhampiran bagi misi menghantar bantuan,” katanya.

Zazila berkata, penduduk kampung memaklumkan wakil rakyat ada turun padang untuk meninjau masalah mereka dan berjanji akan membuat tindakan sewajarnya, termasuk menyediakan bot bagi kegunaan penduduk sementara menunggu pembinaan jambatan baharu.

Bagaimanapun, katanya bot yang dijanjikan masih belum lagi ada menyebabkan penduduk kampung terpaksa berakit untuk ke seberang sungai dan jika keadaan sungai deras, mereka terpaksa menggunakan ‘zip line’.

Sementara itu, mengulas situasi berkenaan, Timbalan Menteri Kerja Raya yang juga Ahli Parlimen Pensiangan, Datuk Arthur Joseph Kurup, berkata beliau sebelum ini bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi memaklumkan keadaan beberapa kampung di Nabawan yang terjejas teruk akibat banjir, baru-baru ini.

Katanya, Ismail Sabri juga bersetuju untuk mengeluarkan peruntukan kecemasan bagi mengatasi masalah dan kerosakan yang dialami akibat bencana alam itu.

“Saya sedia maklum dengan situasi ini yang mana kerosakan dialami adalah akibat banjir besar yang berlaku-baru ini.

“Sehubungan itu, saya bertemu dengan Perdana Nenteri bagi memaklumkan masalah ini dan beliau bersetuju untuk mengeluarkan peruntukan kecemasan.

“Sepasukan pegawai teknikal dari Unit Penyalaras Pelaksana dan Pejabat Daerah juga sudah melawat kawasan terbabit dua hari lalu, dan kini mereka sudah mula menyediakan laporan yang diperlukan,” katanya.

Katanya, beliau juga akan bertemu dengan penduduk kampung bagi membincangkan usaha membantu menyediakan pengangkutan yang lebih selamat kepada murid dan pelajar untuk ke sekolah.

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|