Pemilik kapal diperas ugut

Pemilik kapal diperas ugut

Beluran: Seorang pemilik bot nelayan terpaksa menyerahkan wang sebanyak RM65,000 selepas dipercayai diperas ugut sekumpulan penjenayah negara jiran di perairan Pulau Jambongan, di sini, Ahad lalu.

Wang berkenaan diserahkan sebagai syarat untuk melepaskan ketiga-tiga kru warga Indonesia dan kapal nelayan berkenaan selepas ditahan dan dibawa ke perairan Filipina.

Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Kasim Muda berkata, kehilangan kapal serta ketiga-tiga kru berkenaan disedari pemilik kapal selepas mereka gagal dihubungi.

Bagaimanapun katanya, sebaik dipercayai menyerahkan wang tebusan berkenaan, bot yang digunakan ketiga-tiga mangsa selamat tiba di daerah Sandakan.

“Siasatan awal mendapati, ketiga-tiga mangsa ditahan sekumpulan lapan lelaki senjatakan pistol dan senapang menyerupai M4 atau M16.

“Kumpulan suspek terbabit terus mengambil alih bot dan merosakkan sistem pengesanan lokasi (GPS) dan radio komunikasi,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Kasim berkata, semua mangsa kemudiannya dibawa bergerak masuk ke sekitar perairan Filipina sebelum menghubungi pemilik kapal untuk berunding.

“Hasil rundingan, pemilik kapal bersetuju membuat bayaran sebanyak RM65,000 bagi mengelak daripada mangsa diambil tindakan undang-undang kerana menceroboh perairan Filipina.

“Wang tunai itu kemudiannya dihantar sendiri oleh pemilik bot ke perairan Filipina dan semua mangsa dibebaskan tanpa sebarang kecederaan atau kehilangan barang berharga,” katanya.

Menurutnya, lima suspek berkenaan dipercayai anggota pasukan keselamatan negara jiran berdasarkan pengakuan daripada suspek sendiri kepada mangsa.

“Kumpulan suspek terbabit mendakwa sedang menjalankan tugasan risikan di sempadan Malaysia dan Filipina.

“Semua mangsa juga mengakui tidak pernah diugut atau dipukul sepanjang ditahan oleh kumpulan suspek terbabit,” katanya.

Kasim berkata, siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan peras ugut.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|