Aliran trafik di Sabah dijangka meningkat 200 peratus sempena Aidilfitri

Putatan: Polis Sabah menjangkakan aliran trafik di negeri ini akan meningkat 200 peratus susulan warga kota yang akan bergerak pulang ke kampung sempena sambutan perayaan Aidilfitri pada tahun ini.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, penting untuk pemandu sentiasa memastikan keselamatan nyawa, diri dan juga fikiran ketika menggunakan jalan raya sepanjang perayaan atau ketika pulang ke kampung.

Jauteh menyampaikan goodies bag kepada pengguna jalan raya sempena pelancaran Op Selamat 18/2022 sempena Hari Raya Aifilfitri, di Kampung Meruntum, Putatan.

Katanya, jika tiga elemen itu dapat disatukan, sudah tentu pengguna jalan raya memandu secara berhemah, berhati-hati dan bersopan santun ketika memandu.

“Kita menjangkakan sesuatu agak luar biasa dengan suasana negara kita yang sudah hampir pulih sepenuhnya dari masalah pandemik COVID-19 di mana kita lihat statistik pada Januari hingga Mac tahun ini di Sabah berlaku peningkatan kemalangan jalan raya termasuk kemalangan maut.

“Perkara ini membimbangkan dan kita minta masyarakat memastikan bahawa mereka mematuhi peraturan yang ditetapkan ketika menggunakan jalan raya,” katanya dalam sidang media sempena Majlis Pelancaran Op Selamat 18/2022 sempena Hari Raya Aifilfitri, di Kampung Meruntum, di sini, hari ini.

Beliau dalam pada itu turut menasihatkan kepada penghuni rumah yang meninggalkan kediaman mereka untuk pulang ke kampung supaya memaklumkan kepada jiran tetangga atau polis supaya rondaan berkala dapat dibuat di kawasan rumah yang ditinggalkan.

“Ini bagi memastikan elemen jenayah dapat diatasi dan pada masa sama, jiran yang tahu bahawa rumah itu telah kosong akan lebih rasa curiga jika terdapat kelibat manusia di kawasan rumah yang ditinggalkan sepanjang tempoh perayaan ini,” katanya.

Diminta mengulas berapa ramai anggota yang akan bertugas sempena perayaan ini, Jauteh memaklumkan 90 peratus anggota dan pegawai akan bertugas.

“Untuk khas Op Selamat ini saja, seramai 238 daripada bahagian trafik yang akan bertugas dan ini tidak termasuk unit lain.

“Hanya 10 peratus daripada jumlah keseluruhan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah yang bercuti sempena perayaan ini manakala selebihnya bertugas seperti biasa,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|