Polis Kota Marudu guna pendekatan ‘total enforcement’ kurangkan kadar jenayah

Kota Marudu: Pendekatan penguatkuasaan secara total melalui operasi dan penguatkuasaan undang-undang antara langkah yang diambil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu bagi mengurangkan kadar kemalangan di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu Superintendan Zairolnizal Ishak berkata, IPD Kota Marudu telah melancarkan Op Selamat 18 sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bermula 29 April hingga 8 Mei depan.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Zairolnizal Ishak

“Objektif utama Op Selamat ini adalah untuk melancarkan pergerakan lalu lintas bagi menurunkan kemalangan maut dan kemalangan biasa selain bagi menurunkan kadar jenayah pecah rumah ke tahap paling maksimum semasa perayaan ini.

“Pendekatan penguatkuasaan secara total melalui operasi dan penguatkuasaan undang-undang akan dilaksanakan bagi mengurangkan kadar kemalangan terutama di kawasan ‘blackspot’,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Tambah beliau lagi, statistik kemalangan bagi Kota Marudu berlaku peningkatan berbanding tahun lalu bagi suku tahun pertama tahun ini.

“Statistik kadar kemalangan bagi suku tahun pertama Januari hingga Mac 2021 dan 2022 mencatatkan peningkatan sebanyak 14 kes atau sembilan peratus dengan tiga kes kemalangan maut.

“Saya ingin menasihati agar semua pengguna jalan raya sentiasa berhati-hati dan mematuhi undang-undang jalan raya. Sebelum memulakan perjalanan pastikan kenderaan dalam keadaan baik dan selamat,” katanya.

Mengulas lanjut, aspek keselamatan harta benda terutama di kawasan perumahan dan premis yang ditinggalkan turut menjadi keutamaan pihak polis.

“Bagi mereka yang pulang bercuti disarankan memaklumkan kepada pihak polis dengan mengisi borang balik kampung yang boleh diperoleh dari Balai Polis Kota Marudu atau Balai Polis Pitas.

“Selain itu, boleh juga mendapatkannya melalui Volunteer Smartphone Patrol (VSP) dan sebarang pertanyaan atau aduan boleh menghubungi talian hotline di 088-661093,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|