Hajiji minta Pegawai Daerah berhubung segera dapatkan peruntukan beli bot

Kota Kinabalu: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor meminta Pegawai Daerah Nabawan berhubung segera dengan Jabatan Ketua Menteri bagi mendapatkan peruntukan pembelian bot untuk kegunaan murid ke sekolah di daerah itu.

Katanya, peruntukan untuk pembelian bot terbabit akan diluluskan segera bagi menangani kesukaranan murid dan penduduk kampung yang berdepan kesukaran menyeberang sungai.

“Kalau bot yang mereka mahu, InsyaAllah kita akan luluskan segera.

“Saya minta Pegawai Daerah berhubung dengan saya untuk mendapatkan peruntukan membeli bot atau enjin sangkut atau perahu.

“Saya minta Pegawai Daerah berhubung segera dengan Jabatan Ketua Menteri,” katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung video tular menunjukkan murid di Kampung Nangkawangan, Nabawan yang terpaksa menggunakan rakit dan ‘zip line’ bagi menyeberang sungai untuk ke sekolah.

Beliau turut memaklumkan kerajaan akan membina semula jambatan gantung yang terputus di kampung itu.

“Mengenai dengan jambatan terputus ketika banjir, InsyaAllah kerajaan akan membina jambatan baharu di kawasan itu untuk kemudahan bukan saja untuk anak-anak, murid-murid kita tetapi penduduk kampung di sekitar kawasan tersebut.

“Saya pun dapat makluman dari Datuk Arthur Joseph Kurup pun telah menyatakan komitmen untuk memastikan bahawa jambatan gantung akan dibina semula,” katanya.

Sebelum ini, dilaporkan murid dari kampung berkenaan terpaksa bergadai nyawa menyeberang sungai dengan menggunakan rakit dan zip line untuk berulang alik ke sekolah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|