Covid-19: Jangan leka kelonggaran SOP – Shahelmey

Covid-19: Jangan leka kelonggaran SOP – Shahelmey

Kota Kinabalu: Orang ramai di negeri ini diingatkan agar tidak leka dalam menjaga keselamatan dan kesihatan diri daripada risiko jangkitan Covid-19.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata ini kerana virus Covid-19 masih berada dalam komuniti.

“Dalam kita merasa gembira dan lebih selesa dengan kelonggaran-kelonggaran yang diumumkan oleh kerajaan, saya ingin berpesan dan menyeru kepada semua agar sentiasa mengawal dan menjaga keselamatan dan kesihatan diri kita daripada risiko jangkitan Covid-19.

“Sebagaimana yang kita ketahui, virus Covid-19 ini masih berada di dalam komuniti.

“Marilah kita bersama-sama sebagai rakyat Malaysia menjaga risiko jangkitan Covid-19 ini agar kehidupan kita akan lebih rasa selamat dan juga selesa,” katanya.

Shahelmey berkata demikian ketika ditemui pemberita di pejabatnya pagi tadi.

Shahelmey yang juga Exco Kesihatan negeri menyambut baik pengumuman kelonggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludin pada Rabu lalu.

“Kita menyambut baik pengumuman kelonggaran-kelonggaran SOP Covid-19 yang telah diumumkan oleh Menteri Kesihatan baru-baru ini.

“Antaranya adalah SOP mengenai penggunaan MySejahtera dan juga pemakaian pelitup muka di tempat-tempat yang terbuka,” katanya.

Khairy dalam kenyataannya sebelum ini mengumumkan SOP mengimbas kod QR menggunakan aplikasi MySejahtera apabila memasuki premis dan pemakaian pelitup muka di luar bangunan tidak lagi diwajibkan bermula 1 Mei ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|