Pastikan perjalanan pulang ke kampung selamat

Kunak: Bertoleransi, bersabar dan tidak mengikut emosi ketika memandu. Itu antara nasihat Ketua Polis Daerah Kunak, Superintendan Sabarudin Rahmat kepada pengguna jalan raya menjelang Hari Raya Aidilfitri yang dijangka disambut Selasa depan.

Menurutnya, pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kunak akan menjalankan Ops Selamat dan Ops Cegah Jenayah membabitkan seramai lapan pegawai dan 65 anggota pelbagai pangkat.

Katanya, antara objektif utama Op Selamat 18 kali ini adalah untuk melancarkan pergerakan lalulintas bagi menurunkan kadar kemalangan maut dan kemalangan biasa di daerah Kunak.

“Selain itu, ia juga bagi menurunkan kadar jenayah pecah rumah ke tahap paling minima semasa musim perayaan ini.

“Polis turut menggunakan pendekatan secara ‘Total Enforcement’ bagi mengurangkan kadar kemalangan di daerah ini,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Sabarudin berkata, operasi dan penguatkuasaan terhadap kesalahan yang menyumbang kepada kemalangan terutamanya di kawasan kerap atau ‘black spot’ juga akan dilaksanakan.

Sehubungan itu, Sabarudin berkata, pihak IPD Kunak akan mengerahkan seluruh elemen untuk melakukan pemantauan dan rondaan serta risikan bagi menghalang berlakunya kejadian jenayah atau kemalangan.

Katanya, pihaknya turut mengerahkan Pasukan Polis Marin (PPM) untuk melakukan rondaan bagi menjamin semua pengangkutan laut terus mematuhi undang-undang dan pencegahan jenayah laut dapat dilaksanakan.

Sementara itu, Sabarudin menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang ditetapkan.

Katanya, orang awam boleh memaklumkan kepada pihak polis berhubung pergerakan cuti menerusi balai polis berhampiran atau portal laman web PDRM.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|