Jangan berlumba-lumba untuk tiba ke destinasi

Kudat: Pengguna jalan raya dinasihatkan untuk tidak berlumba-lumba semata-mata mahu sampai ke destinasi ketika pulang ke kampung untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Ketua Polis Daerah Kudat Superintendan Mohd Firdaus Francis Abdullah berkata, orang ramai dinasihatkan kekal memandu secara berhemah bagi memastikan keselamatan semua ketika menggunakan jalan raya.

Mohd Firdaus menyampaikan ‘goodies bag’ kepada pengguna jalan raya sempena pelancaran Op Selamat 18/2022 sempena Hari Raya Aidilfitri di Kilometer 4.5 Jalan Kudat-Kota Kinabalu, Kudat.

Katanya, pengguna jalan raya di seluruh Sabah khususnya masyarakat di daerah ini dinasibatkan supaya merancang perjalanan dan mematuhi segala peraturan lalu lintas ketika balik kampung.

“Op Selamat 18 yang dilancarkan ini adalah bertujuan bukan sahaja untuk keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya tetapi juga memastikan bahawa keselamatan harta benda yang ditinggalkan oleh masyarakat yang balik berhari raya di kampung.
“Masyarakat yang balik ke kampung untuk berhari raya diharap memaklumkan kepada jiran tetangga atau balai polis berdekatan tentang tempoh sepanjang tiada di rumah supaya pihak polis dapat merancang rondaan yang berkala di kawasan-kawasan berkenaan untuk memastikan bahawa elemen jenayah itu dapat diatasi dan memudahkan sebarang tindakan serta merta sekiranya berlaku perkara-perkara yang tidak diingini, ” katanya selepas melancarkan Op Selamat 18/2022 sempena Hari Raya Aidilfitri di Kilometer 4.5 Jalan Kudat-Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Beliau dalam pada itu turut menasihati pengguna jalan raya bukan sahaja utamakan keselamatan nyawa tetapi keselamatan diri dan fikiran semasa memandu.

“Sebagai contoh janganlah berlumba-lumba untuk sampai ke destinasi tetapi memandu secara berhemah untuk memastikan keselamatan semua dan mengelak dari risiko kemalangan jalan raya,” katanya.

Dalam majlis itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada pelbagai pihak yang menjayakan Op Selamat 18 ini termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah, Jabatan Penyelamat Bomba Malaysia (JPBM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan lain-lain agensi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|