Kota Kinabalu: Centre Point Sabah (CPS) menyasarkan lebih 3,000 penyertaan orang ramai sempena sambutan Pesta Kaamatan yang akan diadakan di pusat beli belah itu pada Mei depan.
Ketua Pemasaran-Acara CPS, Dymna Michael berkata, CPS memilih ‘Culture Syok’ sebagai tema tahunan Pesta Kaamatan pada tahun ini dan diilhamkan oleh unsur tradisional etnik Kadazandusun dan Bajau.
“Tema ini adalah untuk mengingatkan kita betapa pentingnya perayaan Kaamatan dan menikmati perayaan ini bersama-sama tanpa mengambil kira perbezaan kita.
“Jadi kita menjangkakan lebih 3,000 peserta daripada pelbagai etnik akan menghadiri Pesta Kaamatan tahunan yang diadakan di pusat beli belah CPS,” katanya dalam sidang media di CPS, hari ini.
Hadir sama pada sidang media itu ialah Pengurus Operasi dan Perancangan, Maria Lan dan Pegawai Perhubungan Awam, Meredith Madani.
Tambahnya lagi, penganjuran program itu adalah untuk menjadikan pusat beli belah lebih menyeronokkan dan menarik selain dapat berkongsi budaya dengan orang ramai.
“Dewan acara kami di Palm Square berlatarkan suasana yang mempamerkan keindahan, warisan, budaya dan prestij yang diilhamkan oleh corak Linangkit seni Dusun Lotud, tudung duang yang diinspirasikan daripada kraftangan tradisional etnik Bajau Kota Belud dan Sandongan iaitu daun palma kering yang biasa digunakan untuk tarian Sumazau,” katanya.
Mengulas lanjut, disebabkan tahun lepas negara berhadapan dengan pandemik Covid-19 dan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat maka terdapat acara terpaksa diadakan secara dalam talian.
“Tetapi tahun ini acara Culture Syok akan diadakan di dewan acara tingkat bawah dan tingkat empat Palm Square dengan mematuhi SOP yang ditetapkan.
“Antara aktiviti yang dilaksanakan sepanjang Mei depan termasuk Titan Showdown, CP Voice Up! Peraduan Nyanyian Sugandoi, Little Glam Unduk Ngadau dan Peraduan Karaoke Terbuka,” katanya.
Terdahulu, pusat beli belah CPS akan turut menjalankan ‘Shop and Redeem: Julie’ s Biscuit’ Program Penebusan Rayamaatan Ekslusif bermula 9 Mei ini di mana sebanyak 2,600 unit 400 gram keropok keju Julie’s boleh ditebus oleh pembeli yang membelanjakan lebih RM100 dalam satu atau dua gabungan resit di kedai terpilih di pusat beli belah itu.
-Deasoka