Covid-19 Sabah: Sabah buat penyesuaian SOP baharu jika perlu

Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah akan membuat penyesuaian terhadap prosedur operasi standard (SOP) baharu selaras fasa peralihan ke endemik Covid-19 yang akan dikuatkuasakan Kementerian Kesihatan (KKM) bermula 1 Mei ini jika ada keperluan.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata jika dilakukan, penyesuaian itu akan mengambil kira keperluan dan keadaan tempatan di negeri ini.

“Pertimbangan utama kita ialah untuk mengekalkan momentum pemulihan bagi membolehkan negeri ini beralih ke fasa endemik dengan lebih cepat,” katanya dalam kenyataan petang ini.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengumumkan beberapa kelonggaran SOP mulai 1 Mei ini termasuk tidak lagi mewajibkan pemakaian pelitup muka di luar bangunan kecuali di tempat sesak dan memansuhkan kewajipan mengimbas kod QR menggunakan aplikasi MySejahtera apabila memasuki premis.

Selain itu, kemasukan individu ke mana-mana premis juga tidak lagi mengambil kira status vaksinasi, manakala kuarantin wajib tujuh hari individu positif Covid-19 boleh dikurangkan jika saringan menunjukkan jangkitan negatif lebih awal daripada tempoh kuarantin penuh.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri berkata kerajaan negeri menyambut baik pengumuman itu khususnya kelonggaran yang akan memudahkan kemasukan pelancong asing dan langkah yang dapat mempercepatkan pemulihan ekonomi.

Sementara itu, Sabah hari ini mencatat sebanyak 46 kes baharu Covid-19, naik 10 kes berbanding 36 kes semalam.

Bagaimanapun, Masidi berkata Sabah mencatat perkembangan yang positif hari ini apabila tiada daerah mencatat kes dua angka.

“Buat pertama kali sejak beberapa bulan, semua daerah di Sabah hanya mencatat kes Covid-19 satu angka hari ini dengan jumlah tertinggi sebanyak sembilan kes yang direkodkan di daerah Penampang.

“Pencapaian itu dilakar selepas daerah Kota Kinabalu yang selama ini mencatat kes harian antara dua hingga tiga angka turun ke satu angka hari ini dengan hanya mencatat lapan kes,” katanya.

Perkembangan terbaharu itu katanya memberi gambaran bahawa keadaan di semua daerah di Sabah kekal stabil dan terkawal dengan pergerakan turun naik jangkitan baharu hanya pada skala yang kecil.

Hari ini juga menyaksikan sebanyak 12 daerah tidak mencatat sebarang kes baharu Covid-19, manakala 13 daerah mencatat antara satu hingga lima kes.

“Seramai 45 orang daripada 46 pesakit baharu hari ini berada dalam Kategori 1 dan Kategori 2, manakala satu kes dalam Kategori 3 dan tiada kes direkodkan dalam Kategori 4 dan Kategori 5 hari ini,” katanya.

Statistik Covid-19 Sabah mengikut daerah:

Covid Update 29 April 2022
Sabah 46 (36)

Penampang 9 (1)
Kota Kinabalu 8 (11)
Papar 5 (4)
Putatan 4 (0)
Lahad Datu 3 (0)
Tuaran 3 (6)
Sandakan 2 (3)
Semporna 2 (0)
Tawau 2 (1)
Telupid 2 (1)
Tenom 2 (1)
Keningau 1 (1)
Kinabatangan 1 (0)
Nabawan 1 (0)
Tongod 1 (0)
Beaufort 0 (2)
Beluran 0 (0)
Kalabakan 0 (0)
Kota Belud 0 (0)
Kota Marudu 0 (0)
Kuala Penyu 0 (0)
Kudat 0 (0)
Kunak 0 (0)
Pitas 0 (0)
Ranau 0 (0)
Sipitang 0 (4)
Tambunan 0 (1)

Angka dalam kurungan adalah jumlah kes 28 April 2022

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|