Polis kesan lelaki tunjuk gari kepada kanak-kanak

Polis kesan lelaki tunjuk gari kepada kanak-kanak

Kota Kinabalu: Polis sedang menjalankan siasatan berhubung satu rakaman video tular yang memaparkan seorang lelaki menunjukkan gari kepada sekumpulan kanak-kanak di persimpangan lampu isyarat, Jalan Coastal, di sini.

Rakaman video melalui aplikasi TikTok berdurasi 24 saat itu tular sejak semalam, memaparkan seorang lelaki itu menunjukkan gari kepada kumpulan kanak-kanak terbabit bagi tujuan menakutkan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, siasatan yang dijalankan, mendapati video itu dimuat naik di akaun TikTok atas nama @Penjahat96 dan tidak dapat dipastikan tujuannya

Namun katanya, tindakan itu boleh mendatangkan kegusaran dan kebimbangan kepada orang ramai yang melihat rakaman video berkenaan.

“Siasatan diteruskan untuk mengenal pasti suspek yang memiliki gari dan pemilik akaun TikTok berkenaan.

“Polis ingin mengingatkan orang awam bahawa adalah menjadi satu kesalahan jika memiliki peralatan-peralatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) seperti gari dan sebagainya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, pihaknya memohon kepada orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan untuk tampil memberikan maklumat yang boleh disalurkan terus di talian 088-529222.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|