Lelaki maut, kenderaan dipandu bertembung lori 10 tan

Lelaki maut, kenderaan dipandu bertembung lori 10 tan

Sandakan: Seorang lelaki maut selepas kenderaan dipandunya bertembung dengan sebuah lori sawit 10 tan dalam kejadian di Jalan Labuk, Batu 19, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, mangsa Lai Ming Yeoh, 50, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.24 tengah hari.

Katanya, sepasukan 10 anggota dan pegawai bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah ke lokasi kejadian.

“Kemalangan melibatkan lori sawit 10 tan bertembung dengan sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux dan terdapat seorang mangsa lelaki tersepit di dalam kenderaan.

“Mangsa dikeluarkan oleh anggota bomba dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 1.34 petang,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|