Polis buru lelaki terbabit kes curi minuman keras

Polis buru lelaki terbabit kes curi minuman keras

Kota Kinabalu: Polis Kota Kinabalu sedang mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes curi di sebuah pasar raya di Pusat Komersial 88, Kepayan, di sini, pada 28 Julai lalu.

Kejadian itu hanya disedari pekerja pasar raya berkenaan kira-kira jam 1 petang, Selasa lalu, selepas dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, kes kecurian membabitkan dua botol wiski berjenama Louis Chevallier XO (750ml) dan Larsen XO Reserve.

Katanya, siasatan awal mendapati, kejadian membabitkan hanya seorang suspek yang dirakam mencuri minuman keras berkenaan.

“Seorang lelaki yang tidak dikenali memakai pelitup separuh muka masuk ke dalam kedai dan mencuri dua botol wiski berkenaan.

“Suspek dirakam memasukkan kedua-dua botol berkenaan ke dalam baju yang dipakai,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, suspek kemudiannya keluar daripada premis berkenaan tanpa membuat sebarang pembayaran.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Sehubungan itu, Mohd Zaidi meminta orang ramai supaya menyalurkan maklumat sekiranya mengenali suspek.

“Maklumat boleh disalurkan ke balai polis berhampiran,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|