Dasar 90:10 penempatan guru Sabah dan Sarawak kekal – Mohamad

Dasar 90:10 penempatan guru Sabah dan Sarawak kekal – Mohamad

Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan (KPM) masih meneruskan dasar 90:10 penempatan guru berasal dari Sabah dan Sarawak untuk mengajar di negeri kelahiran mereka.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mohamad Alamin, berkata dasar itu diteruskan sehingga Kabinet membuat keputusan untuk mengubah nisbah berkenaan.

Katanya, dasar itu yang menetapkan 90 peratus guru harus diambil dari negeri terbabit masih diteruskan sehingga kini.

“KPM mempunyai pendekatan untuk mengisi kekosongan guru di mana-mana negeri di seluruh negeri.

“Di Sarawak contohnya, kita akan membuat pertukaran guru berasal dari negeri itu untuk bertugas di negeri kelahiran mereka.

“Bagaimanapun, penukaran dan penempatan di negeri kelahiran itu berdasarkan kepada kekosongan jawatan dan opsyen yang ada,” katanya pada sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Anyi Ngai (GPS – Baram) mengenai sama ada kerajaan masih meneruskan dasar 90:10 atau 90 peratus pengisian guru untuk anak-anak tempatan.

Mohamad berkata, setakat 31 Julai lalu, seramai 1,010 guru lantikan baharu ditempatkan di sekolah rendah dan menengah di Sarawak.

Bagaimanapun, katanya jumlah itu belum mencukupi hingga memaksa KPM menempatkan seramai 1,603 guru dari Semenanjung di Sarawak.

Sementara itu, di Sabah, Mohamad berkata seramai 1,653 anak Sabah dilantik sebagai guru, masing-masing 1,498 melalui pengambilan ‘one-off’, manakala 155 guru lagi dilantik secara kontrak perkhidmatan (CoS).

Statistik itu dimaklumkan Mohamad sebagai menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (WARISAN – Semporna) mengenai isu guru di Sabah.

Dasar 90:10 diperkenalkan sejak 2015 untuk meningkatkan penempatan guru berasal dari Sabah dan Sarawak mengajar di negeri sendiri kepada 90 peratus, manakala baki 10 peratus guru dari Semenanjung.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|