Tawau: Polis Diraja Malaysia (PDRM) komited membantu Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) bagi menangani isu kecurian elektrik khususnya aktiviti perlombongan bitcoin di negeri ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, kegiatan kecurian elektrik untuk aktiviti Bitcoin semakin berleluasa di negara ini termasuklah di Sabah.
Katanya, pihak PDRM khususnya JSJ Sabah sedang giat menjalankan kerjasama dengan SESB bagi menangani aktiviti Bitcoin secara haram sejak tahun lalu lagi.
“Sebanyak 13 serbuan menerusi Operasi Bersepadu Op Letrik (Bitcoin) sudah dilakukan pada tahun 2021, manakala tahun ini pula sejumlah 21 serbuan berjaya dilakukan.
“Operasi dan tindakan yang dilakukan bersama itu dilihat berjaya mengekang aktiviti Bitcoin haram dan mengurangkan jumlah kerugian yang dialami oleh pihak SESB,” katanya
katanya lagi, PDRM memberi amaran keras terhadap individu atau kumpulan yang menjalankan aktiviti perlombongan Bitcoin haram supaya berhenti melakukannya dengan segera.
Menurutnya, penduduk di negeri ini juga dinasihatkan agar tidak melakukan aktiviti penyambungan haram di rumah mereka bagi mengelak tindakan diambil.
Selain itu, katanya, PDRM juga banyak menerima laporan mengenai kes kematian akibat terkena renjatan elektrik disebabkan aktiviti penyambungan haram.
“Saya ingin menasihatkan kepada semua pengguna elektrik di negeri ini supaya tidak sesekali melakukan jenayah penyambungan haram yang boleh membawa maut.
“Pengguna juga diminta supaya mengambil peluang dengan produk-produk yang ditawarkan oleh SESB demi keselesaan dan kesejahteraan semua pihak,” katanya.
Mengulas mengenai sumbangan yang diberikan oleh SESB, katanya, ia sangat bermakna kepada pasukan JSJ Sabah bagi menjayakan setiap Operasi Bersepadu Op Letrik (Bitcoin).
“Melalui sumbangan itu diharapkan dapat mengeratkan lagi hubungan baik antara PDRM dengan SESB disamping menangani aktiviti jenayah berkaitan penyambungan elektrik secara haram.
“Saya berharap JSJ Sabah dapat memantapkan siasatan dan operasi yang melibatkan kes-kes penyambungan wayar secara haram dan aktiviti perlombongan Bitcoin,” katanya.
Terdahulu, sumbangan yang diberikan termasuklah 15 buah komputer, lima buah komputer riba, 16 pasang kasut dan topi keselamatan yang berjumlah sebanyak RM120,000.
-Deasoka