Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu berkaitan pembentukan kerajaan baharu esok

Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu berkaitan pembentukan kerajaan baharu esok

Kuala Lumpur: Satu perbincangan Khas Raja-Raja Melayu akan diadakan esok bagi mendapatkan pandangan Raja-Raja Melayu mengenai pembentukan kerajaan baharu.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan perkara tersebut susulan daripada sesi-sesi menghadap wakil-wakil Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) secara berasingan, pagi ini.

“Seri Paduka Baginda telah menitah perkenan untuk Istana Negara menganjurkan satu Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara esok (Khamis).

“Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu ini adalah bertujuan untuk Seri Paduka Baginda mendapatkan pandangan Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu bagi Baginda membuat keputusan demi kepentingan dan kesejahteraan negara dan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Sementara itu, beliau memaklumkan, Baginda menyeru agar seluruh rakyat dan semua pihak untuk terus beristiqomah dan bertenang sehingga proses untuk membentuk kerajaan baharu selesai.

“Sesungguhnya, masa depan negara tumpahnya darah kita adalah terlalu berharga dan wajar kita rencanakan dengan penuh cermat serta teliti.

“Rakyat telahpun membuat keputusan untuk memilih wakil mereka. Maka, terserah kepada Wakil Rakyat untuk mencari penyelesaian bagi mengurai kemelut yang membelenggu rakyat jelata,” katanya lagi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|