Jerayawara Pelancongan Berasaskan Komuniti kembali pada skala lebih besar

Jerayawara Pelancongan Berasaskan Komuniti kembali pada skala lebih besar

Kota Kinabalu: Jerayawara Pelancongan Berasaskan Komuniti (CBTR) 2022 ke-4 kini kembali dengan pelbagai pengisian menarik dan akan berlangsung pada 27 hingga 29 November ini.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan, dan Alam Sekitar negeri, Datuk Joniston Bangkuai berkata, ia bertujuan untuk mempamerkan tarikan-tarikan pelancongan luar bandar seperti eko pelancongan, agro pelancongan dan sebagainya.

“Penganjuran CBTR kali ini adalah pada skala yang lebih besar kerana ia turut melibatkan negeri-negeri lain seperti Johor dan Sarawak.

“Ini juga merupakan kali pertama di mana kementerian turut terlibat, antaranya Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Kementerian Pembangunan Perindustrian serta Kementerian Pertanian dan Perikanan.

“Lebih menarik lagi, kita juga ada penyertaan daripada Kawasan yang Ditetapkan untuk Pentadbiran Pelancongan Lestari (DASTA) Thailand.

“Selain itu, kita juga membawa pembaharuan dengan mengadakan forum bertajuk “Memajukan Pelancongan Luar Bandar Untuk Kemakmuran Masyarakat Luar Bandar” yang dibawakan oleh panel berpengalaman dalam pembangunan pelancongan luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media CBTR yang diadakan di Lembaga Pelancongan Sabah (STB), hari ini.

Joniston yang juga merangkap Pengerusi STB berkata, ia akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) dan dijangka akan dirasmikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

“Masuk adalah percuma. Sebanyak 56 tapak pameran disediakan dengan pelbagai aktiviti menarik seperti cabutan bertuah, pertandingan melukis untuk kanak-kanak dan banyak lagi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa jumlah ketibaan pelancong ke negeri ini diharap dapat mencapai 1.2 juta menjelang akhir tahun ini.

“Kita tetapkan target ini memandangkan kita masih berada dalam fasa pemulihan, namun dengan usaha keras daripada STB bersama rakan-rakan dalam industri pelancongan, kita telah mencapai 1.19 juta ketibaan pelancong pada September lalu,” katanya lagi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|