Tiada ‘peperangan’ di antara GRS-BN – Joniston

Tiada ‘peperangan’ di antara GRS-BN – Joniston

Kota Kinabalu: Tiada ‘peperangan’ yang berlaku di antara Gabungan Rakyat Sabah-Barisan Nasional (GRS-BN), kata Datuk Joniston Bangkuai.

Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS) itu berkata, beliau yakin pemimpin-pemimpin gabungan itu akan mengambil keputusan dengan mengambil kira kesejahteraan rakyat.

“Saya tidak nampak ada ‘peperangan’ dan saya yakin Ketua Menteri (Datuk Seri Hajiji Noor) tidak mahu ‘berperang’ dengan sesiapapun, beliau hanya mengutamakan kesejahteraan rakyat.

“Manakala, Datuk Seri Bung Moktar merupakan seorang pemimpin yang rasional dan akan mengambil kira apa yang terbaik untuk negeri ini serta rakyatnya,” katanya dalam sidang media Jerayawara Pelancongan Berasaskan Komuniti (CBTR) yang di Lembaga Pelancongan Sabah (STB), hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta untuk mengulas hubungan GRS-BN, susulan dakwaan bahawa GRS telah mengisytiharkan perang terhadap BN.

Joniston berkata, Kerajaan Negeri sudah melakukan sehabis baik dan merupakan pentadbiran terbaik bagi negeri ini.

“Dari segi Bajet Negeri, tahun ini merupakan yang terbesar dalam sejarah Sabah dengan RM5.4 bilion dan saya percaya bajet untuk tahun hadapan juga bakal mencipta satu lagu rekod.

“Justeru, ini menunjukkan kerajaan yang diterajui GRS-BN sedang berusaha keras. Mana mungkin kita boleh mencapai bajet begitu besar jika tidak ada keserasian, keberkesanan dan pentadbiran yang berkesan,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai kerjasama GRS-BN sekiranya terdapat perubahan pada peringkat Persekutuan, beliau berkata, landskap politik di negeri ini unik dan istimewa.

“Kita harus melihat Sabah sebagai negeri yang unik dan istimewa dan saya rasa ini turut diiktiraf oleh pemimpin Persekutuan, oleh itu ia perlu diteruskan.

“Secara peribadi, saya mempunyai keyakinan penuh bahawa pada akhirnya, pemimpin negeri ini akan mempertimbangkan apa yang terbaik untuk negeri ini serta rakyatnya,” katanya lagi.

Terdahulu, GRS telah menolak dakwaan BN Sabah, bahawa mereka telah mengisytiharkan ‘perang’ terhadap BN.

Ia susulan, keputusan GRS yang menyatakan sokongan terhadap PN dalam pemilihan Perdana Menteri dan kerajaan baharu Persekutuan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|