Kota Kinabalu: Pemandu dan penumpang berdepan detik cemas apabila kereta dinaiki mereka dihempap pokok tumbang di Jalan Tunku Abdul Rahman, berdekatan Wisma Dang Bandang, di sini, petang tadi.
Kejadian kira-kira jam 6 petang itu, kedua-dua mangsa berusia lingkungan 30 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Manakala kereta Honda Jazz mengalami kerosakan akibat dihempap sebatang pokok di pembahagi jalan berkenaan yang tumbang ke arah jalan raya.
Difahamkan ketika kejadian itu berlaku keadaan hujan lebat.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan itu jam 6.08 petang.
Katanya, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu dikerah ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi, sebatang pokok tumbang terkena wayar elektrik kemudian menghempap sebuah kereta Honda Jazz.
“Operasi memotong dan mengalihkan pokok segera dilakukan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Operasi mengalihkan pokok berkenaan turut dibantu anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
-Deasoka