GRS setuju bentuk jawatankuasa solidariti GRS-BN

Kota Kinabalu: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hari ini bersetuju untuk membentuk satu jawatankuasa kerjasama atau solidariti GRS-Barisan Nasional (BN).

Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, tujuan jawatankuasa itu diwujudkan adalah untuk menyatukan parti bukan saja dalam gabungan GRS malah dengan BN selain untuk mengelak daripada berlaku pertembungan pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Hajiji bersama Maximus pada sidang akhbar selepas mesyuarat Majlis Ahli Tertinggi GRS di Menara Kinabalu, Kota Kinabalu.

“Ini satu jawatankuasa kerjasama atau solidariti GRS-BN, kita tahu bahawa kerajaan negeri kerajaan GRS dan kerajaan BN.

“Tujuan kita ialah untuk menyatukan parti-parti bukan saja dalam GRS tetapi dengan BN, inilah tujuannya. Supaya kita menghadapi pilihan raya Parlimen ini bersama-sama, kalau boleh tidak ada pertembungan di antara GRS dan BN. Inilah tujuan utamanya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi GRS di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.

Hajiji yang juga Ketua Menteri turut memaklumkan bahawa dalam mesyuarat itu mereka juga bersetuju untuk melantik jawatankuasa pengerusi dan jawatankuasa penyelaras di setiap bahagian di Parlimen di negeri ini.

Beliau dalam pada itu turut menegaskan bahawa hubungan antara parti dalam GRS ketika ini dalam keadaan baik.

“Ini buktinya bahawa hubungan parti-parti dalam GRS cukup akrab, cukup mesra. Jadi janganlah kita terlampau dengar cerita-cerita di luar,” katanya.

Sementara itu, Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata, pihaknya sentiasa bersama anggota GRS untuk duduk berbincang bersama-sama.

“Kita akan setia kepada Pengerusi dan GRS, kita akan pastikan kita menang sebanyak mana kerusi untuk Parlimen di Sabah,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|