Jalinan Kerjasama Antarabangsa ‘Koryukai’ beri pengalaman baharu kepada pelajar

Labuan: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pantai, Labuan menjadi tuan rumah Program Jalinan Kerjasama Antarabangsa ‘Koryukai’ bersama Universiti Toyo, Jepun yang dikelolakan Jabatan Pendidikan Labuan, baru-baru ini.

Pengetua SMK Pantai, Ismail Abdullah, berkata program itu memberi peluang kepada pelajar dan guru sekolah berkenaan untuk berinteraksi dengan pelajar di Universiti Toyo, sekali gus memberi pendedahan yang baik dalam hubungan antarabangsa.

Pengetua SMK Pantai, Ismail Abdullah menyampaikan ucapan alu-aluan.

“Warga SMK Pantai gembira kerana terpilih mewakili Labuan an Malaysia dalam jalinan antarabangsa ini. Kita mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Pendidikan Labuan khususnya Sektor Pengurusan Sekolah dan Sektor Perancangan kerana memberi kepercayaan kepada SMK Pantai,” katanya.

Program jalinan antarabangsa itu membabitkan guru dan pelajar SMK Pantai yang terpilih.

Ismail bersama moderator dan pembentang serta barisan guru SMK Pantai.

Turut hadir Penolong Pengarah, Sektor Perancangan, Jabatan Pendidikan Labuan, Faridah Amit dan Pengetua SMK Labuan, Mohd Nizam Yasim.

Universiti Toyo pula diwakili oleh Tatsuya Tony Takahashi, yang bertindak sebagai moderator bagi universiti berkenaan.

Secara langsung dari Univerisiti Toyo, Jepun melalui pelantar Google Meet.

Program Jalinan Kerjasama Antarabangsa ‘Koryukai’ bertujuan memperkukuh konsep silang budaya antara warga pendidik dan pelajar di Wilayah Persekutuan Labuan dengan warga Universiti Toyo.

Selain mengeratkan jaringan antarabangsa Labuan dan Jepun, jaringan itu juga memberikan pengalaman baharu khususnya kepada pelajar untuk berinteraksi secara dalam talian dengan warga luar negara di Jepun.

Interaksi secara dalam talian Google Meet.

Program itu juga selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 bagi menyediakan kesamarataan akses kepada dunia pendidikan yang berkualiti dan bertaraf antarabangsa.

Pelaksanaan program itu memberi peluang pelajar SMK Pantai mengenali budaya Jepun dan berinteraksi dengan mahasiswa Universiti Toyo.

Salah satu slot pembentangan murid SMK Pantai, Labuan.

Perkongsian budaya seperti ibadah di bulan Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri pada bulan Syawal seperti pakaian dan juadah adalah antara objektif program itu.

Pada majlis itu, Nur Azhana Shafwani dari kelas 3 Inquirer SMK Pantai menjadi moderator program kerana kefasihannya dalam berbahasa Inggeris dengan baik.

Pembentang pula terdiri daripada Qistina Alya Sulaiman, Nur Waheeda Mohd Rizal, Sufi Sofeana Marwan, Mirza Muhammad Maxmillon, Shafiyyah Shopian dan Nazhif Zachery Tan yang semuanya pelajar tingkatan 4 dan 5 SMK Pantai.

Mereka dibimbing oleh guru sebelum memulakan pembentangan secara dalam talian.

Mahasiswa Universiti Toyo membentangkan budaya yang ada di Jepun seperti tulisan kaligrafi Jepun, Kimono, Kobuki, Kado dan Sumo serta memperkenalkan tempat-tempat menarik seperti Tokyo, Okinawa, Tokyo Disney Resort dan Universal Studio Japan.

Budaya itu menunjukkan identiti negara mereka dari segi pakaian tradisi dan sukan.

Kartun anime Jepun yang terkenal dalam kalangan rakyat Malaysia khususnya murid dan pelajar sekolah seperti Demon Slayer, One Piece, Doraemon, Precure dan Slam Dunk turut dikongsikan.

Seramai enam orang wakil dari SMK Pantai memperkenalkan amalan dan budaya yang dilakukan sepanjang bulan Ramadan dan Hari Raya.

Mereka membentang cara-cara umat Islam di Malaysia berpuasa seperti tempoh masa berpuasa di Malaysia, kelebihan berpuasa, iftar dan juga sahur.

Turut dibentangkan sahur dan aktiviti sepanjang bulan Ramadhan seperti tarawih, moreh dan malam Lailatul Qad’r.

Selain itu, pakaian tradisi rakyat Malaysia dan makanan yang terkenal serta menjadi tradisi di Malaysia ketika Hari Raya juga antara pengisian pembentangan sepanjang program jalinan antarabangsa itu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|