PN Sarawak cadang tambah 30 kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak

PN Sarawak cadang tambah 30 kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak

Kuala Lumpur: Sabah dan Sarawak perlu diberikan peluang untuk melakukan persempadanan semula bagi menambahkan sekurang-kurangnya 30 kerusi Parlimen.

Pengerusi Ketua Badan Perhubungan Negeri Perikatan Nasional (PN) Sarawak, Senator Jaziri Alkaf Abdillah Suffian dalam perbahasannya di Dewan Negara hari ini berkata, ia wajar dipertimbangkan dan dilaksanakan pada masa yang terdekat.

Katanya, tujuan pelaksanaan itu adalah bagi menjadikan komposisi agihan kerusi untuk dua negeri itu lebih seimbang.

“Ia amat mustahak dilaksanakan dalam usaha melindungi hak-hak keistimewaan dan pengiktirafan Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi dan ‘equal partners’ dalam membina bersama negara bangsa Malaysia.

“Saya juga mencadangkan agar sekurang-kurangnya 30 kerusi lagi ditambah bagi kedua-dua negeri ini, sekali gus membolehkan kuota kerusi menepati satu pertiga komposisi kerusi di Parlimen,” katanya.

Jaziri berkata, ketika ini, keseluruhannya 222 kerusi dan sebanyak 56 kerusi iaitu membabitkan Sabah dengan 25 kerusi dan Sarawak 31 kerusi.

“Hakikatnya, terdapat kawasan Parlimen di Sabah dan Sarawak yang mencakupi kawasan amat luas dan adalah mustahil di kawasan yang terlalu besar ini dapat dilakukan pembangunan dan pemantauan secara seimbang.

“Perlu difahami bahawa kawasan bandar adalah lokasi berkependudukan tinggi berbanding kawasan luar bandar, oleh itu saya sangat berharap kalau dapat dilaksanakan satu pertiga kerusi Parlimen diberikan kepada Sabah dan Sarawak kerana ia seharusnya berdasarkan populasi satu orang satu undi,” katanya.

Jaziri berkata, beliau amat berharap usul itu mendapat sokongan penuh seperti yang berlaku pada Persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara sebelum ini yang telah sebulat suara meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) pindaan Perlembagaan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|