DUN Sabah: 31.5 peratus JPKK terdiri daripada wanita

DUN Sabah: 31.5 peratus JPKK terdiri daripada wanita

Kota Kinabalu: Sebanyak 31.5 peratus atau 9,700 Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) di seluruh negeri terdiri daripada golongan wanita.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim berkata, setakat ini kementeriannya telah mengeluarkan watikah pelantikan kepada 30,716 orang untuk menganggotai Badan JPKK.

“Daripada jumlah itu, seramai 9,700 orang adalah dalam kalangan wanita yang mana seramai 320 orang wanita daripada mereka dilantik sebagai Pengerusi JPKK.

“Ini bermakna di peringkat kepimpinan akar umbi, penglibatan wanita melebihi 30 peratus iaitu 31.57 peratus,” katanya dalam ucapan penggulungan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan daripada Jannie Lasimbang (DAP – Kapayan) yang menyentuh isu dasar 30 peratus pembabitan wanita memegang jawatan kepimpinan utama dan sebagai pembuat keputusan.

Sementara itu, menjawab soalan daripada Ruslan Muharam (PBS – Lumadan) berhubung kelewatan pembayaran elaun JPKK, Jahid berkata, pihaknya menyedari perkara itu.

“Kementerian saya sedar, ada masalah yang dihadapi ketika memproses bayaran elaun kepada beberapa badan JPKK di seluruh Sabah termasuk di kawasan Lumadan.

“Usaha menambahbaik sedang dibuat dengan serius. Insya Allah, isu-isu yang timbul akan diminimakan dan diselesaikan dan bayaran akan dapat dibuat tepat pada masa yang telah ditetapkan apabila sistem yang dirancang dilaksanakan dalam masa yang terdekat,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|