DUN Sabah: Ternak burung walit, tanam sacha inchi basmi kemiskinan

DUN Sabah: Ternak burung walit, tanam sacha inchi basmi kemiskinan

Kota Kinabalu: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah memberi fokus kepada usaha mempelbagaikan program untuk meneroka inisiatif baharu membasmi kemiskinan menerusi aktiviti ekonomi yang berpotensi menjana pendapatan.

Menterinya, Datuk Jahid Jahim, berkata antara inisiatif itu ialah memperkasakan lagi aktiviti penternakan burung walit yang diusahakan melalui Program Usahawan Luar Bandar dan Aktiviti Ekonomi Tambahan.

Di samping itu, katanya aktiviti tanaman sacha inchi juga akan digalakkan kerana ia dikenal pasti bidang pertanian amat mudah tanpa memerlukan kos tinggi dan kepakaran khusus.

“Ia mampu memberi pulangan pendapatan dalam tempoh singkat kepada penduduk luar bandar yang menceburi dalam bidang pertanian ini,” katanya ketika menggulung perbahasan kementeriannya pada Persidangan DUN Sabah, hari ini.

Katanya, ia sebagai pelengkap kepada usaha untuk mencapai sasaran miskin tegar pada 2025 yang ditetapkan kerajaan persekutuan.

“Seiring dengan usaha Kerajaan Persekutuan untuk mencapai miskin tegar sifar pada 2025 di bawah Program Pembasmian Kemiskinan, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), kementerian saya menyambut baik usaha tersebut.

“Kita juga akan terus memperkasa dan memantapkan pelaksanaan pelbagai
program pembasmian kemiskinan di luar bandar melalui program-program pembangunan sedia ada di kementerian saya,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|