DUN Sabah: Sabah belum berhasrat buka taman safari

DUN Sabah: Sabah belum berhasrat buka taman safari

Kota Kinabalu: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah belum berhasrat untuk membuka taman safari di negeri ini.

Bagaimanapun Menterinya, Datuk Jafry Ariffin berkata, pihak kementerian mengalu-alukan jika ada pihak swasta yang ingin bekerjasama untuk membina taman safari itu.

“Setakat ini kementerian saya belum mempunyai hasrat untuk membuka taman safari di Sabah memandangkan perkara ini memerlukan peruntukan yang besar.

“Bagaimanapun, kementerian saya amat mengalu-alukan sekiranya terdapat pihak swasta yang ingin menjalankan secara usahasama, namun ia tetap bergantung kepada lokasi kawasan yang strategik,” katanya dalam ucapan penggulungan pada sidang DUN Sabah, di sini, hari ini.

Beliau dalam pada itu berkata, kementeriannya pernah mengadakan perbincangan dua hala dengan pihak Taman Safari Bogor, Indonesia sebelum pandemik Covid-19 melanda.

“Hasil daripada perbincangan tersebut, mereka berminat untuk melabur membuka taman safari ini jika berpotensi memberi pulangan yang menguntungkan kepada pihak mereka,” katanya.

Sementara itu, bercakap mengenai pembukaan sempadan negara bermula 1 April, kementeriannya percaya bahawa kerajaan negeri akan mengguna pakai Prosedur Operasi Standard (SOP) serta kaedah pengendalian kemasukan pelancong dari negara luar yang dikeluarkan oleh kerajaan pusat.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|