DUN Sabah: Mimpi kami tetap sama – Bung Moktar

DUN Sabah: Mimpi kami tetap sama – Bung Moktar

Kota Kinabalu: “Antara Sulaman dan Lamag, walaupun tidur di bantal yang lain, mimpi kami tetap sama,” kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin memberi gambaran hubungannya dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Bung Moktar yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah berkata demikian sebagai mengulas pendaftaran Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang tidak dianggotai BN dalam mukadimah sesi penggulungan Kementerian Kerja Raya pada Persidangan DUN Sabah, hari ini.

Beliau berkata GRS adalah platform yang baik dan BN tetap menyokongnya walaupun tidak berada dalam gabungan berkenaan disebabkan BN juga adalah sebuah gabungan yang dianggotai beberapa komponen parti.

“GRS adalah platform yang baik, walaupun BN bukan pendokong GRS secara ‘direct’ sebab BN ini ada komponen lain, kita sentiasa sokong,” katanya.

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya negeri berkata, Sabah masih negeri yang mundur disebabkan terlalu berpolitik sehingga sudah melalui sebanyak 16 pilihan raya sejak pembentukan Malaysia kerana rakyatnya suka menukar kerajaan.

Disebabkan itu, katanya ramai pemimpin tidak fokus membangunkan negeri dan hanya melihat kedudukan ketika kerajaan sedia ada masih berkuasa.

“Sebab itulah BN muncul untuk menstabilkan politik dan memastikan kemakmuran berterusan dapat diwujudkan di Sabah. Jadi kita sama-sama bantu Sabah menyelesaikan tiga masalah utama di Sabah,” katanya.

Tiga masalah itu katanya ialah bekalan air, jalan raya dan elektrik.

“Saya banyak perancangan tapi tidak jadi kalau asyik menjatuhkan antara satu sama lain. Inilah masanya untuk membangunkan Sabah sebab sudah banyak kerajaan tapi tidak juga jadi, rakyat yang sengsara,” katanya.

Terdahulu, Bung Moktar menyatakan penghargaaannya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menyatakan pendirian tegas kerajaan Pusat tidak mengiktiraf sebarang tuntutan mana-mana pihak ke atas Sabah.

“Terima kasih juga kepada Perdana Menteri kerana akhirnya kita buka sempadan mulai 1 April ini sebab Malaysia adalah negara paling lama mengunci diri (tutup sempadan),” katanya.

Beliau turut menyatakan penghargaan terhadap barisan hadapan yang banyak berkorban sepanjang pandemik Covid-19 hingga ada yang terkorban.

Bung Moktar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag turut berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana meluluskan peruntukan untuk menyiapkan pembinaan fasa satu projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah, baru-baru ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|