DUN Sabah: Ruangan komen Facebook JKR Sabah ditutup elak perdebatan

DUN Sabah: Ruangan komen Facebook JKR Sabah ditutup elak perdebatan

Kota Kinabalu: Ruangan komen akaun Facebook Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah ditutup untuk mengelak perdebatan secara terbuka yang boleh mendatangkan situasi tidak sihat di media sosial.

Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, objektif mewujudkan akaun Facebook JKR Sabah adalah untuk memberi maklum balas kepada isu jalan yang ditularkan berbaur fitnah di media sosial selain sebagai platform memberi info mengenai bencana alam serta isu semasa jalan raya di negeri ini.

Katanya, JKR ingin memastikan agar kakitangan serta orang awam tidak menjatuhkan moral dengan menjadikan Facebook sebagai medan tohmahan.

“Untuk makluman, JKR Sabah mempunyai aplikasi aduan awam yang lebih sistematik dan teratur yang mampu memberi info lokasi kerosakan jalan dan dapat mengenal pasti situasi dengan lebih jelas dan tepat.

“Selain itu, melalui aplikasi tersebut dapat merekodkan aduan-aduan orang awam seterusnya mampu dimanfaatkan sebagai satu platform bagi melancarkan urusan komunikasi orang awam dengan JKR,” katanya ketika sesi penggulungan Kementerian Kerja Raya pada Persidangan DUN Sabah, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab Dr Aliakbar Gulasan (Pas – Dilantik) yang membangkitkan ruangan komen akaun Facebook JKR Sabah yang ditutup ketika ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri itu turut menjelaskan bahawa Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) juga mempunyai dua platform media sosial iaitu Jabatan Air Negeri Sabah di Facebook dan jabatanair.official di Instagram.

“Facebook JANS berperanan untuk memaparkan notis-notis gangguan bekalan air seluruh Sabah manakala Instagram JANS berfungsi untuk memaparkan notis pemotongan meter dan kaedah pembayaran bil.

“Bagaimanapun, buat masa ini, ruangan komen sosial media JANS telah ditutup kerana Jabatan Air menggalakkan pengguna atau orang awam terus menghubungi JANS Careline supaya aduan atau masalah yang disampaikan dapat diberi perhatian dan seterusnya diambil tindakan dengan segera tanpa terlepas pandang di ruangan komen,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|