Pekerja harian tidak nikmati gaji minimum, kerajaan digesa naikkan gaji

Pekerja harian tidak nikmati gaji minimum, kerajaan digesa naikkan gaji

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri disaran melaksanakan kadar gaji minimum seperti diumumkan Perdana Menteri secara menyeluruh di semua peringkat tanpa meminggirkan mana-mana kakitangan tetap atau sambilan.

Ketua UMNO Bahagian Tawau, Ghazalie Ansing berkata, meskipun gaji minimum sebelum ini pada kadar RM1,200 sebulan, namun masih ada pekerja harian yang terabai dengan gaji pokok yang tidak berubah walaupun sudah 20 tahun berkhidmat.

Beliau memberi contoh gaji sebulan sebanyak RM968 yang diterima pekerja harian di sebuah agensi di bawah Jabatan Pertanian Sabah sejak 2002 tetapi tidak pernah dinaikkan sehingga hari ini.

Katanya, walaupun pekerja terbabit berstatus gaji harian, namun amatlah tidak logik jika kadar yang ditetapkan tidak berubah selama 20 tahun.

Justeru, katanya kerajaan perlu mencari mekanisme baharu untuk membantu kakitangan.

“Apa dasar kerajaan sehingga gaji pekerja ini tidak pernah dinaikkan selama 20 tahun bekerja? Bukankah kerajaan telah menetapkan gaji minimum sebelum ini RM1,200 dan bakal dinaikkan kepada RM1,500.

“Kalau sebelum ini kerajaan terlepas pandang sehingga berlaku keciciran, maka saya sebagai pemimpin menyuarakan perkara ini agar ada tindakan diambil demi kebajikan pekerja terlibat.

“Pekerja ini telah berkhidmat selama 20 tahun dan selayaknya menerima kenaikkan gaji bukannya diabaikan sedangkan gaji itulah yang digunakan untuk menyara keluarga malah dengan peningkatan harga barang semasa bagaimana pekerja ini mampu meneruskan kehidupan,” katanya dalam satu kenyataan.

Ghazalie yang juga Pengarah Komunikasi UMNO Sabah berkata, pekerja terlibat mempunyai anak-anak yang bersekolah, justeru pihak berkuasa perlu segera menaikkan gaji pekerja tersebut termasuk pemberian elaun yang berkaitan jika ada.

Sementara itu, berdasarkan gambar sekeping surat yang diperoleh, pekerja tersebut yang bekerja di sebuah Stesen Penyelidikan Pertanian di Tawau didapati menerima gaji harian sebanyak RM44 sejak 2 Januari 2002 tanpa apa-apa kenaikan.

Selepas ditolak potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak 11 peratus atau RM128, baki gaji bulanan yang diterima cuma RM840.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|