PM umum pengeluaran khas KWSP RM10,000

PM umum pengeluaran khas KWSP RM10,000

Kota Kinabalu: Perdana Menteri hari ini mengumumkan persetujuan kerajaan membenarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membuat pengeluaran khas RM10,000.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam pengumuman khas sebentar tadi berkata, penjelasan lanjut mengenai pengeluaran khas itu akan dibuat Kementerian Kewangan dan KWSP.

“Kerajaan sebelum ini membenarkan pengeluaran caruman KWSP melalui tiga skim iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra berjumlah RM101 bilion, melibatkan 7.34 juta pencarum sejak pandemik Covid-19 melanda negara dua tahun lalu.

“Berdasarkan dapatan kajian dan penelitian secara menyeluruh dalam fasa pemulihan selepas pandemik ini, ada dalam kalangan Keluarga Malaysia yang masih terkesan dari segi ekonomi, hilang pendapatan dan sedang membina semula kehidupan.

“Kerajaan mendengar, mengkaji dan meneliti permintaan daripada semua pihak untuk mengeluarkan caruman KWSP. Justeru itu, pada hari ini Kerajaan bersetuju membenarkan pengeluaran khas KWSP sebanyak RM10,000,” katanya.

Beliau berkata, ia adalah keputusan yang sukar kerana melibatkan simpanan hari tua rakyat dan menyifatkan pengeluaran khas itu sebagai jalan tengah dalam mengimbangi antara keperluan mendesak hari ini dan simpanan masa hadapan.

“Walaupun kerajaan memberikan kebenaran untuk pengeluaran khas KWSP ini, namun saya merayu kepada para pencarum supaya mengekalkan simpanan mereka kecuali keadaan benar-benar mendesak.

“Saya berharap para pencarum membuat pertimbangan yang sewajarnya sebelum melakukan pengeluaran, demi masa depan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|