Kota Kinabalu: Kerajaan negeri akan memberikan tumpuan untuk membangunkan beberapa bandar sempadan yang dikenal pasti terutama di daerah Tawau dan sekitarnya.
Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, berkata usaha itu dilakukan dengan mempergiatkan pembangunan dan aktiviti ekonomi sedia ada di kawasan yang terbabit.
Jelasnya, pendekatan itu adalah antara usaha diambil kerajaan negeri untuk mengambil peluang daripada langkah negara jiran, Indonesia memindahkan ibu negaranya ke Kalimantan Timur.
“Sabah juga tidak ingin ketinggalan dalam merebut peluang menerokai prospek ekonomi yang boleh dimajukan berikutan dengan perpindahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan,” katanya dalam ucapan dasar kerajaan sempena Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-16, hari ini.
Juhar berkata, kerajaan negeri juga menyediakan Rangka Tindakan Koridor Pembangunan Sabah 2.0 (2021-2030) untuk memajukan negeri Sabah melalui pembangunan mengikut koridor atau wilayah selaras dengan Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
Jelasnya, pelaksanaan pelbagai inisiatif di bawah rangka tindakan berkenaan
akan diperkasakan lagi termasuk melalui inisiatif untuk menjadikan Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) sebagai pusat perdagangan dan pintu masuk utama dalam wilayah Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur – Brunei, Indonesia, Malaysia, Filipina (BIMP-EAGA).
-Deasoka