PM tepati janji bentang RUU Anti Lompat Parti

PM tepati janji bentang RUU Anti Lompat Parti

Kota Kinabalu: Pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti pada persidangan Parlimen bermula 28 Februari ini disifatkan sebagai tepat selain menunjukkan kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menepati janji.

Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Madius Tangau, berkata pembentangan RUU itu sejajar dengan semangat memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani di antara Ismail Sabri dan Pakatan Harapan (PH) pada Ogos lalu.

Katanya, perkara itu seperti yang dijelaskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar baru-baru ini.

“Kenyataan Wan Junaidi itu juga selaras dengan pendirian yang diketengahkan PH dalam pertemuan dengan beliau yang mana PH menegaskan perlunya RUU itu dibawa ke Parlimen mengikut garis masa yang dipersetujui dan ditetapkan sebelum ini.

“Beliau juga menyatakan keputusan itu selaras dengan saranan Perdana Menteri yang mahu pindaan RUU berkenaan disegerakan dan dibentangkan pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-14 2022 yang mana saya melihat ia wajar dan menunjukkan kepemimpinan Perdana Menteri menunaikan janji beliau dan pendirian PH,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Madius yang juga Ahli Parlimen Tuaran dan Ahli Jawatankuasa Teknikal RUU Anti Lompat Parti, berkata PH sebelum ini menyatakan pendiriannya bahawa pembentangan RUU itu tidak wajar ditangguh dan dilewatkan.

Beliau berkata, rakyat akar umbi mahukan perubahan yang ketara bagi memastikan tiada mana-mana wakil rakyat yang bertindak melompat parti, sekali gus mempertahankan integriti dewan perundangan dan wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat.

“Pengumuman Wan Junaidi itu juga dengan sendirinya menafikan pandangan sesetengah pihak bahawa RUU ini tidak akan dibentangkan dan tidak akan menjadi kenyataan kerana kerajaan Pusat tidak serius dan MoU yang dimeterai oleh PH tidak bernilai serta tidak bertaring.

“Jika ada mana-mana perkara yang belum padu, saya percaya kita masih ada masa untuk melakukan penambahbaikan. Apa yang penting RUU ini harus dan perlu dibawa ke sesi Parlimen pada Februari dan Mac ini.

“Saya juga berharap semua kerajaan negeri akan mengambil langkah yang sama untuk meminda undang-undang di peringkat negeri, termasuk Perlembagaan Negeri masing-masing,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|