PM rasmi sambutan Hari Belia Negara di Tuaran 16 Julai ini

PM rasmi sambutan Hari Belia Negara di Tuaran 16 Julai ini

Kota Kinabalu: Sabah dipilih sebagai negeri kedua untuk sambutan Hari Belia Negara peringkat Kebangsaan yang akan diadakan bermula 15 hingga 17 Julai ini.

Sambutan yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu akan diadakan di Padang Pekan Tuaran pada 16 Julai nanti.

Pegawai Khas Ketua Menteri Sabah, Mazlan Joehari Manan berkata, sambutan Hari Belia Negara telah bermula sejak 15 Mei lalu dan perutusan sempena Hari Belia Negara telah disampaikan Perdana Menteri melalui saluran media televisyen.

Katanya, susulan daripada itu, pelbagai aktiviti ‘build-up programme’ telah dirancang dan disusun atur untuk dilaksanakan bagi mengisi acara sepanjang menjelang sambutan itu yang diadakan selama tiga hari di negeri ini.

“Karnival sambutan Hari Belia Negara 2022 peringkat Kebangsaan pada kali ini dianjurkan dan dipengerusikan secara bersama oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan KBS sabah yang mewakili kerajaan negeri.

“Sambutan ini juga melibatkan kerjasama dengan rakan strategik utama iaitu Majlis Belia Malaysia dan Majlis Belia Sabah.

“Ini merupakan satu penghargaan kepada pihak kerajaan Sabah kerana telah dipilih untuk menjadi penganjur dan pelaksana bersama bagi acara sambutan besar-besaran sempena karnival Hari Belia Negara yang akan diadakan di Padang Pekan Tuaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Kupi-Kupi Bersama Media sempena sambutan Karnival Hari Belia Negara 2022, di sini, hari ini.

Mazlan yang juga Pengerusi Gabungan Persatuan Belia Bahagian Pedalaman Bawah (GABUNGAN) berkata, tema sambutan Hari Belia Negara 2022 pada kali ini ialah ‘Ini masa kita’.

“Mengambil kira tema sambutan ini menerangkan tentang masa muda merupakan waktu yang terbaik untuk belia di negara kita melaksanakan aktiviti kebaikan yang menyumbang kepada agama, masyarakat dan negara serta mengoptimakan masa muda yang ada untuk berbakti kepada negara,” katanya.

Katanya lagi, Hari Belia Negara juga mempunyai empat objektif utama yang ingin dicapai.

“Pertama, kita ingin memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada golongan belia yang menyumbang kepada pembangunan negara manakala kedua, memberi semangat dan meningkatkan kesedaran kepada golongan belia di dalam negara dan ketika dunia dilanda pandemik, golongan belia masih mendapat perhatian daripada pihak kerajaan bagi menghadapi situasi semasa.

“Ketiga pula, kita ingin menaikkan semangat kecintaan dan patriotisme kepada golongan belia supaya terus konsisten untuk menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan juga negara serta yang keempat, menyediakan platform strategik kapada pemegang taruh untuk menyumbang kepada pembangunan belia,” katanya.

Terdahulu, beliau turut berkongsi antara aktiviti yang akan diadakan pada sambutan itu adalah Ikrar Belia Malaysia, larian amal Hari Belia Negara, aktiviti sukan, pembukaan gerai-gerai, ekspo, karnival pekerjaan, forum dan lain-lain yang turut memberi manfaat kepada golongan belia.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|