Penuntut FPP UMS jayakan Program ‘Green Attitude’ di Kundasang

Penuntut FPP UMS jayakan Program ‘Green Attitude’ di Kundasang

Ranau: Penuntut Program Pembangunan Belia dan Komuniti Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini telah menjayakan Program ‘Green Attitude’ yang diadakan di Kampung Mesilau, Kundasang.

Program yang dikendalikan oleh penuntut Tahun Tiga itu memfokuskan aspek psikologikal, sosial, persekitaran dan ekonomi di bawah penyelarasan Pensyarah Kursus Sikap dan Perubahan Sikap FPP, Dr Getrude Cosmas.

Antara aktiviti yang diadakan menerusi Program ‘Green Attitude’ di Kampung Mesilou, Kundasang.

Menurut Getrude, program itu dianjurkan selama dua hari dengan kerjasama Kundasang Aquafarm dan menyasarkan golongan belia yang sedang mengikuti latihan praktikal serta belia di kampung itu.

“Bertemakan ‘Seeds of change, growth and prosperity’, program ini dilaksanakan berasaskan pendekatan Psikologi Sosial dan Agronomi.

Ahli Jawatankuasa pelaksana yang terdiri daripada Getrude (empat kanan) dan pelajar daripada Program Pembangunan Belia dan Komuniti bersama Azizul.

“Terdapat tiga elemen sikap iaitu pemikiran, emosi dan psikomotor diterapkan dalam semua aktiviti berpandukan kepada Yale Model,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau lagi, pelbagai aktiviti diadakan sepanjang program itu berlangsung, antaranya perkongsian pengalaman aktiviti hijau serta sesi ceramah tentang penanaman hijau.

“Peserta juga turut menjalani aktiviti mereka berbentuk poster untuk mempromosi dan memasarkan produk hijau seperti sayuran Pak Choy, koral hijau dan merah.

“Selain itu, turut diadakan aktiviti star gazing dan acara mendaki bukit (hiking) yang kemudiannya disusuli dengan aktiviti penanaman pokok bunga di puncak bukit Sosodikon,” katanya.

Menyentuh mengenai modul Green Attitude, Getrude berkata, ia dihasilkan dengan kerjasama ahli akademik daripada pelbagai disiplin bagi menerapkan sikap dan tingkah laku positif kepada masyarakat untuk lebih menghargai alam sekitar.

“Modul ini direka bentuk menerusi percambahan idea daripada Pengarah Pusat Pengurusan Ecofarm UMS merangkap Pensyarah Kanan Fakulti Pertanian Lestari (FPL) Ts Dr Januarius Gobilik (Agronomi – Multidisiplin), Pengurus Kundasang Aquafarm, Azizul Julirin serta saya sendiri selaku Pensyarah Kanan FPP dalam bidang Psikologi Sosial.

“Pada kesempatan ini, saya bagi pihak penganjur juga ingin merakamkan setinggi ucapan terima kasih kepada Dekan FPP UMS, Profesor Dr Murnizam Halik yang sentiasa memberikan sokongan penuh daripada awal perancangan sehingga kepada perlaksanaan dengan jayanya Program ‘Green Attitude’ ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|