PH Sabah mesti diwakili dalam Kabinet Persekutuan – Ewon

PH Sabah mesti diwakili dalam Kabinet Persekutuan – Ewon

Kota Kinabalu: Ahli Parlimen Penampang dan bakal Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick menyatakan harapan agar Pakatan Harapan (PH) Sabah diwakili dalam Kabinet Persekutuan supaya menjadi sebahagian daripada pembuat keputusan untuk melaksanakan tawaran ‘Kita Boleh’ PH untuk rakyat Sabah.

Katanya, PH Sabah menyokong penuh Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi PH.

“Untuk ini, saya berharap PH Sabah akan diwakili dalam Kabinet Persekutuan agar kita dapat memastikan pelaksanaan tawaran-tawaran khas PH kepada rakyat Sabah sepertimana yang kita kempenkan dalam pilihan raya lalu.

“Bagi pihak parti UPKO pula, kita sudah memaklumkan pucuk pimpinan mengenai syor daripada parti mengenai penglibatan di dalam kerajaan persekutuan ini. Saya juga akan mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri mengenai perkara ini,” katanya.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUB) Kadamaian menyatakan demikian ketika ditanya wartawan selepas pembentangan Belanjawan Sabah 2023 oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor di DUN Sabah, hari ini.

Ketika ditanya mengenai jawatan Timbalan Perdana Menteri sama ada dari Sabah atau Sarawak, Ewon menyatakan Perdana Menteri mempunyai pertimbangan berdasarkan kepada kekuatan Ahli Parlimen terutamanya Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang mempunyai 23 Ahli Parlimen.

“Pada saya, yang penting adalah bagaimana tawaran-tawaran PH kepada rakyat Sabah itu dapat dilaksanakan terutamanya mengenai hak 40 peratus hasil Sabah.

“Sudah tentu kitapun mahu Timbalan Perdana Menteri diberikan kepada Sabah tetapi kita maklum dengan kekuatan GPS dalam Kerajaan Perpaduan ini, maka itu tidak menjadi isu. Yang penting hak Sabah dapat dilaksanakan.

“Inilah menjadi perjuangan utama saya sebagai salah seorang Presiden parti komponen PH iaitu memastikan apa yang sepatutnya milik Sabah dapat diberikan kepada rakyat Sabah,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|